RM129,340 Perkasa Gerak Kerja Komuniti Di Muara Tuang
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak RM129,340 disalurkan kepada 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan institusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program serta aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang berkata, peruntukan menerusi Geran Tahunan ‘Outright Grant’ dan sumbangan khas itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa gerak kerja komuniti di kawasan berkenaan.
“Kita berharap peruntukan ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk manfaat masyarakat dan memperkukuh lagi aktiviti yang dijalankan oleh setiap organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Cek Outright Grant DUN Muara Tuang di Pusat Marqas Operasi DUN Muara Tuang, Taman Desa Ilmu di sini pada Sabtu.
Dato Idris menambah, setiap penerima perlu memanfaatkan peruntukan tersebut secara berhemah serta memastikan program yang dilaksanakan memberi impak positif kepada komuniti.
Beliau turut menekankan peranan penting NGO dan persatuan sebagai rakan strategik kerajaan dalam membantu menyampaikan perkhidmatan serta melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi.
Justeru, beliau berharap bantuan berkenaan dapat memperkukuh keupayaan penerima dalam melaksanakan program dan seterusnya memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di kawasan DUN Muara Tuang.
Antara penerima peruntukan berkenaan termasuk NGO, persatuan, sebuah masjid dan sebuah sekolah.-EDISI UKAS