ADUN Tupong Santuni Warga Emas 102 Tahun, Hargai Sumbangan Generasi Terdahulu
KUCHING: Pertemuan dengan seorang warga emas berusia 102 tahun menjadi antara momen istimewa buat Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman ketika menyantuni komuniti setempat di Sungai Matang Tengah.
Pertemuan itu berlangsung dalam suasana mesra sempena Majlis Makan Malam Sambutan Pesta Pertengahan Musim Luruh dan Malam Penghargaan Warga Emas 2026, sekali gus mencerminkan penghargaan terhadap generasi terdahulu yang telah banyak menyumbang kepada keluarga dan masyarakat.
Dato Fazzrudin berkata, golongan warga emas wajar terus dihargai dan diberi perhatian bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis berkenaan di Dewan SUPP Sungai Matang Tengah di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, program kemasyarakatan yang melibatkan warga emas bukan sahaja menjadi wadah mengeratkan hubungan, malah membuka ruang untuk menghargai jasa serta sumbangan generasi terdahulu.
Jelasnya, penganjuran program seumpama itu turut mampu memperkukuh semangat perpaduan, keharmonian dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang, khususnya di kawasan Tupong.
Pada majlis berkenaan, Dato Fazzrudin turut meluangkan masa beramah mesra dan menyantuni komuniti Cina setempat serta warga emas yang hadir.-EDISI UKAS