Leeyendy Buka 'Akaun' Pingat Sarawak Dengan Perak Lempar Cakera LF11
SELANGOR: Atlet para olahraga Sarawak, Leeyendy Jisen Abdullah membuka 'akaun' pingat kontinjen Bumi Kenyalang pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 selepas meraih perak acara lempar cakera kategori LF11 (buta sepenuhnya), sekali gus menutup penampilan terakhirnya di temasya itu dengan pencapaian membanggakan.
Atlet dari Bau itu melakukan lemparan sejauh 20.94 meter untuk menduduki tempat kedua daripada tujuh peserta dalam saingan di Stadium UiTM Shah Alam, pada Ahad.
Pingat emas menjadi milik Muhammad Fahmi dari Johor dengan catatan 28.62 meter, manakala Ahmad Fikri Omar dari Negeri Sembilan meraih gangsa menerusi lemparan sejauh 20.38 meter.
Pencapaian itu cukup bermakna buat Leeyendy apabila Para SUKMA Selangor 2026 menjadi penampilan terakhirnya dalam temasya berkenaan berikutan faktor usia.
“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana mendapat tempat kedua.
“Sebenarnya saya cuba untuk menjadi juara, tetapi tempat kedua pun sudah memadai untuk perjuangan saya di Para SUKMA kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas tamat saingan.
Meskipun tidak berjaya merealisasikan sasaran untuk muncul juara, catatan 20.94 meter itu memastikan Leeyendy menjadi penyumbang pingat pertama Sarawak pada temasya kali ini.
Kejayaan berkenaan turut menambah satu lagi pencapaian dalam karier Leeyendy yang beraksi dalam kategori LF11 melibatkan atlet cacat penglihatan sepenuhnya.
Selepas menamatkan perjalanan di pentas Para SUKMA, Leeyendy kini mengintai peluang untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi dan membawa cabaran Sarawak serta negara pada kejohanan akan datang.
“Saya akan kembali pulang ke tanah air, negeri Sarawak tercinta, Bumi Kenyalang. Seperti slogannya, ‘Agi Hidup Agi Ngelaban’, saya akan buat yang terbaik demi negeri Sarawak dan juga negara Malaysia,” katanya lagi. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi