Idea AI Perlu Diterjemah Kepada Perniagaan ‘Bankable’
KUCHING: Idea dan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan usahawan muda perlu mempunyai model perniagaan yang jelas, berdaya maju dan ‘bankable’ agar berpotensi memperoleh pembiayaan serta berkembang sebagai perniagaan sebenar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, idea inovatif sahaja tidak mencukupi tanpa struktur perniagaan yang kukuh dan memenuhi keperluan institusi kewangan.
Menurut beliau, golongan muda perlu memanfaatkan bimbingan pihak bank dan usahawan berpengalaman bagi memahami keperluan pembiayaan serta menyusun idea mereka supaya lebih mudah dinilai dari aspek kebolehlaksanaan, pulangan dan daya tahan perniagaan.
“Pihak bank perlu memberitahu mereka perkara yang diperlukan sekiranya mahu mendapatkan pembiayaan.
“Kita tidak mahu hanya mendengar apa yang mereka fikir bagus, tetapi ia mestilah sesuatu yang dianggap berdaya dibiayai oleh pihak bank, termasuk pulangan pelaburan, aliran tunai, kemampuan bertahan dalam tempoh lima tahun dan yang paling penting, bagaimana pembiayaan itu akan dibayar balik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penutupan SG–Sarawak Friendship AI Business Design Hackathon 2026 di Hikmah Exchange di sini pada Jumaat.
Datuk Abdullah menambah, selain aspek pembiayaan, usahawan perlu memberi perhatian kepada pengurusan risiko dan tadbir urus bagi memastikan perniagaan mempunyai asas kukuh serta mampu bertahan dalam jangka panjang.
Katanya, aspek berkenaan amat penting khususnya bagi perniagaan berisiko tinggi bagi memastikan pengurusan kewangan, kawalan dalaman dan proses membuat keputusan dilaksanakan secara teratur.
Sementara itu, Pengerusi Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, Datuk Ismawi Ismuni berkata, penggunaan AI dalam perniagaan tidak seharusnya didorong semata-mata oleh kecanggihan teknologi, sebaliknya perlu berupaya menyelesaikan masalah sebenar dan mencipta nilai kepada perniagaan.
Menurut beliau, idea yang dihasilkan sepanjang hackathon itu juga perlu dikembangkan selepas program berakhir dengan menambah baik penyelesaian yang dibangunkan sebelum diterjemahkan kepada aplikasi atau perniagaan sebenar sekiranya mempunyai potensi.
Katanya, sambutan terhadap program berkenaan turut mencerminkan minat dan kesediaan bakat muda Sarawak meneroka teknologi baharu apabila kesemua 30 tempat peserta diisi dalam tempoh sehari selepas pendaftaran dibuka.
Program selama dua hari itu memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian terhadap cabaran perniagaan sebenar menerusi penggunaan AI, di samping membuka ruang kepada peserta membina jaringan serta bertukar pengetahuan dengan rakan dan rakan kongsi dari Singapura.
Turut hadir Setiausaha Akhbar kepada Premier Sarawak, Dato Ambrose Cheng Loi Hee, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili serta wakil Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC). -EDISI UKAS