Forum Hal Ehwal Islam Tekankan Penghayatan Ahli Sunnah Wal Jamaah
DARO: Forum Hal Ehwal Islam sempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Tahun 1448H/2026M (Zon Tengah) Daerah Daro telah berlangsung di Masjid Al-Muhsiniin, Daro.
Program tersebut turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi bersama para jemaah dan masyarakat setempat.
Forum berkenaan menampilkan Timbalan Pengarah Dasar, Jabatan Agama Islam Sarawak, Al-Fadhil Ustaz Abg Borhanudin Abg Ahmad Masuine dan Ketua Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Sarawak, Al-Fadhil Ustaz Jamaludin Taim sebagai panel.
Manakala Al-Fadhil Ustaz Azizan Ajiji dari Pejabat Agama Islam Daerah Daro bertindak selaku moderator.
Antara perkara yang diberi penekanan dalam forum ialah kepentingan berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sebagai landasan kefahaman dan pengamalan Islam dalam kehidupan seharian.
Perbincangan turut menyentuh keperluan masyarakat untuk mendapatkan ilmu agama daripada sumber dan guru yang muktabar, di samping mengamalkan ajaran Islam berdasarkan kefahaman yang sahih serta tidak mudah terpengaruh dengan fahaman, ajaran atau pemikiran yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Penekanan terhadap Sunnah Wal Jamaah amat penting dalam membentuk masyarakat Islam yang berilmu, berakhlak dan berpegang kepada prinsip agama yang sederhana serta sejahtera.
Kefahaman yang kukuh juga dapat membantu masyarakat menghadapi cabaran semasa dengan berpandukan al-Quran, al-Sunnah serta pandangan ulama yang muktabar.
Forum ini turut menjadi platform interaksi dan perkongsian ilmu antara pihak berkuasa agama dengan masyarakat setempat, selain membuka ruang kepada para jemaah untuk memahami isu-isu berkaitan kehidupan beragama secara lebih jelas dan menyeluruh.
Penganjuran Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak di Zon Tengah ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan silaturahim, menyantuni masyarakat serta memperkasakan kefahaman Islam, khususnya dalam memastikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah terus subur dan menjadi asas kehidupan umat Islam di Sarawak.
Program diakhiri dengan harapan agar usaha sebegini dapat diteruskan secara berterusan bagi melahirkan masyarakat yang berilmu, bersatu padu, berakhlak mulia dan teguh berpegang kepada ajaran Islam yang sahih. - EDISI UKAS