Datuk Amar Douglas Uggah Pantau Keadaan Jambatan Batang Layar, Minta Projek Baharu Dipercepat
BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turun padang bagi meninjau keadaan Jambatan Besi Batang Layar di Layar Link Road yang ditutup sepenuhnya bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan struktur jambatan dilaksanakan.
Lawatan tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Menurut Datuk Amar Douglas, penutupan jambatan lama itu perlu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan struktur (truss) dilaksanakan dengan selamat, susulan isu keselamatan yang telah dikesan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong.
Dalam masa sama, beliau turut meninjau perkembangan projek pembinaan Jambatan Batang Layar baharu dan menyifatkan kemajuan projek tersebut sebagai memuaskan.
“Namun saya meminta pihak kontraktor supaya dapat menyiapkan projek ini lebih awal kerana jambatan baharu ini penting untuk memastikan jambatan lama tidak lagi digunakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan di Jambatan Besi Batang Layar, pada Sabtu.
Beliau turut meminta masyarakat di Betong supaya bersabar dan memahami keperluan penutupan jambatan lama berkenaan sepanjang tempoh kerja-kerja pembaikan yang dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.
Menyentuh mengenai keadaan cuaca dan bekalan air, Datuk Amar Douglas berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menjangkakan keadaan musim kering dan panas akan berpanjangan.
Justeru, katanya, langkah-langkah mantap perlu diambil bagi memastikan empangan hidro seperti Bakun dan Batang Ai dapat mengekalkan paras serta bekalan air yang mencukupi bagi menjamin keperluan rakyat.
“Cloud seeding juga boleh dilaksanakan apabila keadaan cuaca mengizinkan, khususnya apabila terdapat pembentukan awan yang sesuai,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Urusan Jurutera TCS Sdn Bhd Dato Ir Christopher Adrian, Jurutera Bahagian, JKR Bahagian Betong Jason Ng Boon Tuan, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Jurutera Air Bahagian Betong, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Bahagian Betong Andres Inchatekoster, wakil Residen Bahagian Betong Florence Bulan serta Pengurus Besar Projek, Hock Seng Lee Berhad Philip Lau. - EDISI UKAS