Dato Hanifah Teruskan JKB, Tinjau Fasiliti Kesihatan Di Pedalaman Mukah
MUKAH: Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib meneruskan Jelajah Kesihatan Borneo (JKB) Siri 4 di Bahagian Mukah dengan mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan (KK) Nanga Taroh dan KK Simpang Bukut.
Lawatan pada Sabtu itu bertujuan meninjau secara dekat keadaan fasiliti dan penyampaian perkhidmatan kesihatan, selain mengenal pasti keperluan sebenar yang dihadapi petugas serta masyarakat setempat.
Menurut Dato Hanifah, lawatan secara langsung penting bagi membolehkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memahami cabaran di lapangan dan menilai keadaan kemudahan yang digunakan untuk memberikan perkhidmatan kepada penduduk.
Di KK Nanga Taroh yang telah beroperasi sejak tahun 1980, beliau turut mendengar isu berkaitan penjawatan serta meninjau keadaan kemudahan kuarters yang memerlukan perhatian pihak berkaitan.
Sementara itu, tinjauan di KK Simpang Bukut turut mengenal pasti beberapa keperluan melibatkan fasiliti, penjawatan dan operasi bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk.
Tegas Dato Hanifah, cabaran geografi Sarawak yang luas, khususnya di kawasan pedalaman, memerlukan pendekatan dan penyelesaian bersesuaian berdasarkan keperluan serta realiti setempat.
“Justeru, kerjasama erat antara KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan pihak kesihatan tempatan perlu terus diperkukuh bagi menangani isu yang dikenal pasti,” ujarnya.
Tambah beliau, JKB merupakan antara pendekatan penting untuk mengenal pasti keperluan sebenar di lapangan dan mencari penyelesaian bersama bagi memastikan masyarakat terus menerima akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Kesihatan Awam) Dr. Mohammad Nazarudin Bahari, Pakar Perubatan Perunding Kanan Kesihatan Awam Cawangan Pembangunan Kesihatan Keluarga JKN Sarawak Dr. Nur Fatihah Oh Abdullah, Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah Dr. Mohammad Najib Hasan @ Ahmad dan Pegawai Tadbir Residen Bahagian Mukah Mohd Amirul Valentine Laiseh. - EDISI UKAS