SABERKAS Bukit Saban Rancang Pertandingan Karaoke Antara Zon
BETONG: SABERKAS Cawangan Bukit Saban bersama Pergerakan Pemuda PBB Cawangan N.37 Bukit Saban kini membuat persiapan awal bagi menganjurkan Pertandingan Karaoke Tertutup Antara Zon SABERKAS Cawangan Bukit Saban.
Sehubungan itu, satu Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Program telah diadakan di Pusat Khidmat Parlimen P.204 Betong, pada Sabtu bagi membincangkan perancangan serta pelaksanaan program berkenaan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu yang turut menekankan kepentingan pembentukan jawatankuasa kerja kecil bagi mengendalikan pertandingan di peringkat zon.
Beliau turut mencadangkan supaya tarikh pelaksanaan bagi peringkat zon ditetapkan lebih awal serta berharap setiap jawatankuasa yang dilantik dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik bagi memastikan kelancaran program.
Menurut beliau, pengurusan kewangan program juga perlu diberi perhatian dengan setiap jawatankuasa kerja diminta mengurus serta mengatur dana yang diperuntukkan secara cermat bagi mengelakkan pembaziran.
Pertandingan berkenaan dicadangkan sebagai satu program kemasyarakatan yang mampu memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti di kawasan Bukit Saban, di samping menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sosial, kebudayaan dan rekreasi yang positif serta inklusif.
Program tersebut terbuka kepada komuniti di kawasan Bukit Saban dengan kategori solo terbuka bagi peserta berumur 15 tahun ke atas.
Pertandingan akan dilaksanakan dalam dua peringkat, iaitu saringan zon melibatkan enam zon sebelum peserta terbaik daripada setiap zon dipilih untuk bertanding di peringkat akhir.
Seramai 12 peserta yang terpilih daripada peringkat saringan akan berentap di peringkat akhir sebagai acara kemuncak yang melibatkan keseluruhan zon. - EDISI UKAS