Yang di-Pertuan Agong Perkenan Isytihar Darurat Di Seluruh Bahagian Serian
KUCHING: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta agensi-agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, langkah-langkah yang perlu secara lebih berkesan akan diambil bagi melindungi kesihatan serta kebajikan penduduk yang terjejas.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa kerajaan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu dari semasa ke semasa bagi memastikan segala tindakan yang diperlukan dapat dilaksanakan dengan segera termasuk langkah-langkah mitigasi serta penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan kepada orang ramai bagi membantu melindungi penduduk yang terjejas.
Pengisytiharan darurat itu melibatkan seluruh Bahagian Serian susulan tahap pencemaran udara yang boleh memberi kesan terhadap kesihatan dan keselamatan orang ramai.-EDISI UKAS