Kerajaan Sarawak Siap Sedia Laksana Mekanisme Pengurusan Darurat Jerebu Di Serian
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menyusun rangkaian arahan dan mekanisme pengurusan bagi memastikan semua agensi berkaitan bersedia melaksanakan tindakan sewajarnya susulan pengisytiharan darurat di Serian.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, persediaan berkenaan penting bagi memastikan pelaksanaan langkah-langkah berkaitan darurat dapat dilakukan secara teratur dan berkesan.
Menurut beliau, pelaksanaan darurat berkenaan tidak sama seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19, sebaliknya lebih kepada memastikan orang ramai berada di rumah bagi mengurangkan pendedahan kepada keadaan jerebu yang berbahaya.
“Ini bukan seperti PKP COVID, tetapi ia bertujuan untuk memastikan orang ramai kekal berada di rumah.
“Maka, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta diminta untuk ditutup. Walaupun pejabat perlu ditutup, kita mempunyai beberapa perkhidmatan penting yang perlu terus beroperasi seperti pasar raya, stesen minyak, bank serta beberapa kemudahan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat JPBNS di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Jumaat.
Datuk Amar Douglas Uggah menambah, perkhidmatan penting melibatkan agensi kerajaan seperti polis, tentera dan jabatan tertentu turut akan diteruskan bagi memastikan aspek keselamatan serta penyampaian maklumat kepada masyarakat tidak terjejas.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan darurat itu hanya melibatkan lokaliti yang terjejas di Serian dan tidak membabitkan kawasan lain di Sarawak.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) sekarang ialah Omar Mahli, Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Abdul Wahab Rahim dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan.-EDISI UKAS