ASAJAYA: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Asajaya mempergiat rondaan pemantauan menerusi Op Ramah Barat Daya di beberapa lokasi sekitar daerah ini bagi memastikan situasi kekal terkawal serta mengesan sebarang risiko kecemasan atau bencana.
Rondaan yang dilaksanakan di Jalan Kampung Rebak, Kampung Serpan dan Pekan Asajaya pada Jumaat mendapati keadaan di semua lokasi berkenaan terkawal tanpa sebarang kejadian kecemasan atau bencana dilaporkan.
Pemantauan di lapangan turut mendapati tiada aktiviti pembakaran terbuka oleh orang awam dikesan sepanjang operasi berkenaan.
Rondaan tersebut merupakan sebahagian daripada kesiapsiagaan berterusan APM Daerah Asajaya dalam memantau keadaan semasa dan memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku sebarang insiden.
Orang awam yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Asajaya di talian 082-827091.-EDISI UKAS