KLANG: Tirai Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 disingkap menerusi aksi ‘lawn bowl’ atau boling padang yang bermula hari ini, di Kompleks Boling Padang Bayu Emas.
Gelanggang lawn bowls menjadi pentas awal buat 16 atlet Sarawak menguji segala persiapan yang telah dibentuk sepanjang tempoh latihan, ketika fokus kini beralih daripada perancangan kepada pembuktian.
Dengan saingan berlangsung dalam lima pusingan pada hari pertama, setiap atlet Sarawak berdepan tugasan tersendiri dalam usaha membuka kempen dengan keputusan positif sebelum saingan diteruskan ke pusingan seterusnya.
Aksi pertama menyaksikan Mahathir Mohammad turun dalam kategori B7 menentang Fadlullah dari Terengganu pada 8 pagi, manakala Mohammad Shukri turut memulakan kempen dalam kategori sama berdepan Idlan dari Perak.
Pusingan kedua pula menyaksikan Abdul Waled Jais membawa cabaran Sarawak dalam kategori B8 menentang Azizi dari Johor, sementara Haizam Mohd Alli berdepan Shauki dari negeri jiran, Sabah.
Memasuki pusingan ketiga, Mohd Nizamuddin Hipni menggalas cabaran Sarawak dalam kategori B5 menentang Mohammad Rafiq Bakori dari Pulau Pinang, manakala Nischal Nischolas Bujang berdepan Mohd Syazwan dari Negeri Sembilan dalam kategori B6.
Tumpuan kemudian beralih kepada pertembungan sesama atlet Sarawak apabila Marrisha Dawieyanie dan Urie George dijadualkan bertemu dalam kategori B6 pada pusingan keempat.
Shariffah Naimah pula meneruskan cabaran Sarawak dalam kategori B8 menentang Asmaliza Awang Tuah dari Wilayah Persekutuan pada pusingan yang sama.
Bagi pusingan kelima, Mohammad Shukri dijadualkan menentang wakil tuan rumah, Yusril sebelum Mahathir Mohammad menutup tugasan hari pertama Sarawak apabila berdepan Muizzuddin dari Kelantan.
Lima pusingan berkenaan menjadi medan penting untuk atlet Sarawak mendapatkan rentak pertandingan, khususnya selepas melalui fasa persiapan yang panjang sebelum temasya membuka tirai. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi