RM5.8 Juta Naik Taraf Lampu Jalan Petra Jaya–Rambungan Demi Keselamatan Pengguna
KUCHING: Projek bernilai RM5.8 juta bagi menyediakan dan memulihkan lampu jalan sepanjang 11.9 kilometer laluan Petra Jaya–Rambungan dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, projek berkenaan akan menyediakan sistem pencahayaan dan bekalan elektrik yang lebih stabil serta boleh dipercayai.
Menurut beliau, pelaksanaan projek itu turut menangani kekurangan pencahayaan sedia ada akibat vandalisme dan kemerosotan infrastruktur lampu jalan.
“Pencahayaan yang lebih baik dijangka meningkatkan tahap penglihatan pengguna jalan raya pada waktu malam, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan keselamatan pemandu, penunggang motosikal, pejalan kaki dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Projek Penyediaan Lampu Jalan di Lebuh Pehin Sri Haji Adenan Satem, di sini, pada Sabtu.
Projek yang menghubungkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai dan DUN Tupong itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk serta pengguna jalan raya di kedua-dua kawasan berkenaan.
Bernilai RM5,828,380, projek tersebut dijadualkan siap pada 16 Jun 2027, melibatkan penyediaan dan pemulihan sistem voltan tinggi serta voltan rendah di sepanjang laluan berkenaan, khususnya di Seksyen Matang.
Antara skop utama projek termasuk pembinaan 11kV Overhead Lines lengkap dengan enam set transformer 50kVA 11/433kV serta aksesori berkaitan, selain pemasangan 794 unit Lampu Jalan LED Tanpa Lengan 120W.
Skop projek turut merangkumi pemasangan kabel bawah tanah, ‘mini pillar’, kotak kawalan dan aksesori berkaitan bagi memastikan sistem pencahayaan dapat berfungsi dengan lebih baik.
Projek berkenaan dilaksanakan oleh Arena Megasuria Sdn. Bhd., dengan Perunding Teknikal Consult Sdn. Bhd. sebagai perunding projek, manakala Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching bertindak sebagai Pegawai Penguasa.
Turut hadir Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman dan Pengarah JKR Sarawak, Datu Ir. Cassidy Morris.- EDISI UKAS