JKKK Dinasihat Pastikan Pengurusan Akaun Dilaksanakan Mengikut Prosedur
BELAGA: Semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dinasihatkan supaya memastikan pengurusan akaun JKKK dilaksanakan mengikut prosedur dan tatakelola yang ditetapkan, termasuk mengelakkan pelantikan pemegang akaun yang mempunyai pertalian keluarga.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang menjelaskan, perkara tersebut bukan bertujuan menyukarkan urusan JKKK, sebaliknya bagi melindungi jawatankuasa berkenaan daripada timbulnya sebarang persepsi atau pandangan negatif dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) N.65 Belaga di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Belaga pada Sabtu.
Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa peruntukan MRP yang disalurkan kepada 49 JKKK pada kali ini bertujuan membantu menampung keperluan pengurusan dan pelaksanaan mesyuarat pertubuhan itu.
Datuk Liwan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum atas kerjasama serta sokongan yang sentiasa diberikan dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti di kawasan Belaga.
Beliau berkata, kehadiran para pemimpin masyarakat dalam setiap program, termasuk dalam keadaan tertentu tanpa jemputan rasmi, mencerminkan komitmen dan sokongan berterusan mereka terhadap pembangunan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Datuk Liwan turut mengingatkan masyarakat supaya meningkatkan tahap kewaspadaan berikutan keadaan cuaca kering dan kemarau serta jerebu yang sedang melanda beberapa kawasan di Sarawak.
Beliau menasihatkan masyarakat agar tidak melakukan pembakaran terbuka serta memastikan sebarang unggun api di kebun atau ladang dipadamkan sepenuhnya sebelum meninggalkan kawasan berkenaan bagi mengelakkan api merebak akibat tiupan angin.
Masyarakat turut dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di luar rumah dan, jika perlu, menggunakan pelitup muka sebagai langkah perlindungan daripada kesan jerebu.
Majlis tersebut diadakan bersempena lawatan kerja rasmi beliau ke kawasan Belaga dalam beberapa hari ini.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah, Temenggong Ajang Sirek, Pemanca Unak Akah, Penghulu Nicholas Mering Kulleh, Penghulu Abu Talip Mokhtar serta Ketua Ketua Kaum.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyerahan bantuan cek daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada tiga buah rumah panjang, iaitu Uma Kejaman Lasah, Long Segaham sebanyak RM300,000, Uma Sekapan Piit sebanyak RM150,000 dan Uma Sambop, Long Semutut sebanyak RM250,000.
Selain itu, Datuk Liwan turut menyampaikan Sijil Pengiktirafan sebagai Bumiputera Sarawak kepada enam orang penerima dari kawasan Belaga.
Penyerahan cek MRP pada kali ini melibatkan 49 JKKK dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM147,000.
Selesai majlis, Datuk Liwan meneruskan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air di Long Mitik bagi meninjau sendiri keadaan loji berkenaan serta mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai masalah yang dihadapi, khususnya berkaitan keperluan dan penyelesaian yang boleh diambil demi memastikan kemudahan bekalan air kepada penduduk setempat dapat berfungsi dengan baik. - EDISI UKAS