Ulu Skrang Berpotensi Dibangunkan Sebagai Destinasi Pelancongan Alam Semula Jadi
LUBOK ANTU: Kawasan Ulu Skrang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan menerusi peningkatan infrastruktur serta penerokaan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi berkata, pembangunan infrastruktur khususnya rangkaian jalan perlu terus diberi perhatian bagi meningkatkan akses dan kemudahan kepada masyarakat setempat.
“Usaha menaik taraf jalan di Ulu Skrang, termasuk jalan balak yang menjadi laluan utama masyarakat, perlu terus diberi perhatian bagi meningkatkan akses dan merancakkan pembangunan setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel Memperkasakan Peranan Ketua Kaum dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di Rumah Karin Gerambong, Nanga Menjuau, Ulu Skrang, di sini, pada Sabtu.
Roy menambah, potensi industri pelancongan berasaskan alam semula jadi di kawasan Ulu Skrang juga wajar diterokai dengan sokongan dan penglibatan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai penghubung penting antara kerajaan dengan komuniti.
Justeru, beliau menekankan kepentingan pemimpin masyarakat untuk terus mendampingi komuniti secara lebih dekat agar setiap permasalahan dan keperluan rakyat dapat dikenal pasti serta disampaikan kepada pihak berkaitan.
Dalam pada itu, Roy turut mengumumkan peruntukan RM12,000 kepada JKKK Nanga Menjuau, RM5,000 kepada Biro Wanita Nanga Menjuau serta RM150,000 kepada JKKK Nanga Menjuau bagi tahun 2027. -EDISI UKAS