Persatuan KMKK Lubok Antu, JKKK Pelasok Bincang Persiapan Bengkel Pemerkasaan Akar Umbi
ENGKILILI: Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lubok Antu bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pelasok mengadakan perbincangan bagi menyelaras persiapan Bengkel Memperkasakan Peranan KMKK dan JKKK Daerah Lubok Antu yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober ini.
Persatuan KMKK Daerah Lubok Antu berkata, perjumpaan yang diadakan di Rumah Thomas, Pelasok, Skrang, pada Jumaat itu memberi tumpuan kepada aspek pengurusan, penyelarasan program dan pengukuhan kerjasama antara kedua-dua institusi akar umbi.
Bengkel tersebut bakal menjadi platform memperkukuh kefahaman mengenai peranan, tanggungjawab dan fungsi KMKK serta JKKK, khususnya dalam mengenal pasti, menyelaras dan menyampaikan isu serta keperluan masyarakat kepada pihak berkaitan.
Kerjasama erat antara kedua-dua institusi itu penting bagi memastikan aspirasi masyarakat di peringkat akar umbi dapat disampaikan secara lebih berkesan demi manfaat penduduk setempat.
Perjumpaan tersebut mencerminkan komitmen Persatuan KMKK Daerah Lubok Antu dan JKKK Pelasok untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama serta peranan institusi masyarakat dalam menyokong pembangunan komuniti.- EDISI UKAS