Projek Bekalan Air Puncak Borneo Dalam Proses Percepat Pelaksanaan
PADAWAN: Projek bekalan air di kawasan Puncak Borneo kini dalam proses tender, dengan usaha sedang dilaksanakan bagi mempercepatkan kelulusan dan pelantikan kontraktor.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara & Jalan) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, proses tender bagi projek berkenaan telah dilaksanakan dan pihak berkaitan sedang berusaha memastikan pelaksanaannya dapat dimulakan dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurut beliau, projek tersebut penting dalam menangani isu bekalan air yang dihadapi penduduk di kawasan Puncak Borneo, khususnya ketika keadaan kemarau.
“Isu bekalan air terus diberi perhatian khususnya susulan keadaan kemarau yang menjejaskan sumber air di beberapa kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan logo baharu Gereja Saint Andrew’s Kampung Sitang sempena Majlis Makan Malam di Dewan Serbaguna Kampung Sitang, pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Datuk Dr Jerip turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Gereja Saint Andrew’s Kampung Sitang bagi menyokong keperluan pembangunan gereja berkenaan.
Beliau turut menyambut baik penyaluran RM180,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi tujuan pembangunan dan naik taraf gereja tersebut.
Menurutnya, gereja bukan sahaja berperanan sebagai tempat ibadat, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan, nilai kekeluargaan dan semangat kebersamaan masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda supaya terus aktif dalam kegiatan gereja dan komuniti bagi memastikan kesinambungan institusi keagamaan serta warisan keimanan terus diperkukuh.
Turut hadir Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong; Pengerusi Gereja Saint Andrew’s Kampung Sitang, Harry Jimat dan Ketua Kaum Kampung Sitang, Joseph Merot.- EDISI UKAS