Para Boling Padang: Mahathir Buka Kempen Dengan Kemenangan Bergaya
SELANGOR: Wakil Sarawak, Mahathir Mohammad membuka kempen kategori B7 acara boling padang Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan kemenangan bergaya 18-3 ke atas wakil Terengganu, Muhammad Fadlullah Mazdan di Kompleks Boling Padang Bayu Emas di sini pada Sabtu.
Beraksi dalam kategori B7 (boleh berjalan/ambulant mahupun yang menggunakan kerusi roda), Mahathir tampil konsisten sejak awal permainan untuk membina kelebihan selesa ke atas lawannya.
Mahathir terus mengekalkan momentum dan tidak memberi banyak ruang kepada Muhammad Fadlullah untuk merapatkan jurang sebelum menamatkan saingan dengan kemenangan 18-3.
Keputusan itu memberikan permulaan positif buat Mahathir dalam saingan B7 pada temasya kali ini.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa seorang lagi wakil Sarawak, Mohammad Shukri Twkino yang terpaksa akur kepada wakil Perak, Muhammad I’dlan Radzi dalam satu lagi aksi kategori sama.
Mohammad Shukri memberikan tentangan dan cuba mengimbangi permainan, namun konsistensi Muhammad I’dlan menyukarkannya untuk merapatkan jurang mata.
Usaha Mohammad Shukri untuk bangkit tidak berhasil apabila Muhammad I’dlan terus mengekalkan kelebihan sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-12.
Keputusan tersebut menyaksikan Sarawak mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan menerusi dua wakilnya dalam aksi B7 berkenaan. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi