1,014 Peserta Terima Lesen Memandu B2 Melalui Program Bantuan Parlimen Tanjong Manis
SARIKEI: Seramai 1,014 peserta berjaya memperoleh Lesen Memandu Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Parlimen P206 Tanjong Manis.
Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu tersebut berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Baru Seberang Sarikei dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab pada Sabtu.
Menurut Dato Ir Yusuf, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu golongan sasaran, khususnya mereka yang berpendapatan rendah, mendapatkan lesen memandu motosikal Kelas B2 pada kadar bayaran yang minimum.
"Program yang diraikan hari ini adalah salah satu inisiatif keprihatinan kerajaan terhadap denyut nadi dan jerih perih rakyat di peringkat akar umbi yang bertujuan untuk membantu golongan sasar terutamanya B40 atau golongan berpendapatan rendah bagi mendapatkan lesen motosikal agar dapat membuka ruang dan peluang untuk mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor logistik dan pengangkutan yang kini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat untuk memiliki lesen memandu yang sah, malah turut menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan jalan raya melalui latihan dan ujian pemanduan yang sistematik.
Katanya, pelaksanaan program itu turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan mobiliti rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, di samping membantu meningkatkan akses mereka kepada peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi.
Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 anjuran Parlimen P206 Tanjong Manis merupakan hasil kerjasama strategik antara JPJ Cawangan Sarikei, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P206 Tanjong Manis dan Institut Memandu Sarikei Sdn. Bhd.
Kesemua 1,014 peserta yang berjaya memperoleh lesen berkenaan telah melalui proses tapisan, latihan serta ujian yang dikendalikan mengikut prosedur dan piawaian ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak.
Kerjasama erat antara agensi dan rakan strategik tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan keseluruhan proses pelaksanaan program, daripada pendaftaran dan tapisan peserta sehingga latihan serta ujian, dapat dilaksanakan dengan lancar.
JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak serta rakan strategik yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program berkenaan.
Program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai antara usaha berterusan kerajaan membantu rakyat memiliki lesen memandu yang sah, memperkukuh keselamatan jalan raya serta meningkatkan kesejahteraan dan taraf sosioekonomi masyarakat.
Hadir sama pada majlis ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak, Mohamad Faizal David Jemat, Wakil Residen Bahagian Sarikei, Azryn Naim Zolkefli dan wakil Ketua Polis Daerah Sarikei, Assistan Superitenden Polis Douglas Nyatop. - EDISI UKAS