Sarawak Tuan Rumah Sambutan Hari Malaysia 2026, 5,000 Tetamu Dijangka Hadir
KUCHING: Sarawak menjadi tuan rumah bagi Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 tetamu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 September ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan tersebut, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran sambutan berkenaan di Sarawak mampu memperkukuh semangat perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia.
“Sarawak kembali menjadi tuan rumah, lataran dilihat mampu memperkukuhkan semangat perpaduan dan kepelbagaian di Malaysia merentasi Semenanjung, Sabah, dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di sini pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim menambah, antara pengisian utama sambutan itu kelak ialah ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor secara rakaman, ucapan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta ucapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Majlis turut melibatkan acara menandatangani Buku Khas Hari Malaysia, simbolik perasmian serta perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang bagi menyerahkan Jalur Gemilang kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum bendera dinaikkan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pameran sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 akan berlangsung dari 10 hingga 16 September di Plaza Merdeka, Kuching.
Pameran Mini Sambutan Perayaan Hari Malaysia 2026 turut akan diadakan di 10 bahagian di Sarawak iaitu Sri Aman, Sibu, Miri, Limbang, Sarikei, Kapit, Bintulu, Mukah, Betong dan Serian, selain cadangan penganjurannya di Sabah dan Putrajaya.
Selain itu, dua majlis kesyukuran peringkat Sarawak akan diadakan iaitu Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Hotel Pullman pada 14 September dan Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek pada 15 September.
“Dalam Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain, tiap-tiap agama akan diberi ruang untuk menyampaikan doa untuk kesejahteraan Malaysia dan dijangka akan dihadiri oleh Premier Sarawak kalau tiada halangan tetapi kalau tidak, ia akan diamanahkan kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk menjadi tetamu.
“Dan selain daripada itu, majlis kesyukuran untuk orang Islam akan diadakan pada keesokan harinya pada 15 September di Masjid Jamek Kuching yang akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” jelasnya.
Hadir sama secara atas talian ialah, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, manakala hadir secara fizikal pula ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee serta ketua-ketua jabatan dan agensi. - EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery