KUCHING: Situasi jerebu ketika ini mula memberi kesan kepada sektor pelancongan Sarawak apabila berlaku sedikit penurunan jumlah ketibaan pelancong sejak kebelakangan ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keadaan jerebu berpotensi menyebabkan pelancong dari luar mengubah perancangan perjalanan mereka ke Sarawak, khususnya Kuching.
“Jadi, kita memang melihat terdapat sedikit penurunan dalam jumlah ketibaan pelancong sejak kebelakangan ini.
“Saya menjangkakan keadaan ini akan berterusan sehingga masalah jerebu berakhir,” katanya ketika sidang media sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kebangsaan di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim turut menzahirkan kebimbangan memandangkan terdapat banyak acara besar mungkin terpaksa ditangguhkan seperti Borderland Music Festival di Kampung Budaya Sarawak pada 11 dan 12 September serta Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai yang akan berlangsung pada penghujung September ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pihak penganjur supaya sentiasa mengikuti perkembangan serta pandangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sebelum meneruskan penganjuran acara, khususnya yang diadakan di luar bangunan.
Ujarnya, penganjur perlu mengambil kira tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) sebelum membuat keputusan untuk meneruskan, menangguhkan atau membatalkan sesuatu acara.
Menurut beliau, acara yang diadakan di dalam bangunan masih boleh dipertimbangkan untuk diteruskan, namun penganjuran majlis besar di luar bangunan perlu dinilai semula sekiranya bacaan IPU berada pada tahap tinggi.
“Jangan hanya teruskan secara membuta tuli kerana kesihatan rakyat juga amat penting dalam apa-apa acara yang kita adakan di luar.
“Sekiranya acara diadakan di dalam bangunan, saya rasa ia boleh dijalankan tetapi bagi apa-apa majlis besar yang diadakan di luar bangunan, sekiranya IPU agak tinggi, fikirkan dahulu sama ada untuk menangguhkan ke tarikh lain ataupun membatalkannya terus,” jelas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery