Pengerukan Saluran Kuala Baram Dijangka Siap Akhir Tahun
MIRI: Projek pengerukan saluran akses Kuala Baram yang kini mendahului jadual dijangka siap pada akhir tahun ini, lebih awal berbanding tarikh siap kontrak pada Mac 2027, sekali gus membuka ruang kepada pengukuhan operasi dan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Miri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek yang dimulakan pada Julai 2024 itu kini berjalan lancar dan perkembangan tersebut akan meningkatkan akses navigasi ke Pelabuhan Miri di Kuala Baram.
Menurut beliau, penyempurnaan projek berkenaan akan menyediakan asas lebih kukuh kepada pembangunan serta operasi pelabuhan pada masa hadapan, khususnya dalam melancarkan aktiviti perdagangan dan pengendalian kargo.
“Pelabuhan Miri perlu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan saluran akses yang lebih baik dengan memperkukuh hubungan bersama pelanggan sedia ada dan berpotensi, khususnya pemain industri minyak dan gas serta sektor lain bagi meneroka peluang perniagaan dan pelaburan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan), Dato Majang Renggi pada Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah sempena 43 Tahun Kecemerlangan MPA dan 28 Tahun Operasi Miri Port di Kuala Baram, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas berkata, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan kawasan tanah di Pelabuhan Miri bagi cadangan pembangunan Zon Bebas dan perkhidmatan sokongan asas untuk aktiviti huluan minyak dan gas di perairan Miri.
Beliau berkata, kawasan berkenaan berpotensi menampung pelbagai aktiviti termasuk operasi minyak dan gas, pemindahan kargo antara mod, pecah pukal, kontena, pembungkusan dan pelabelan, pemprosesan, pembuatan serta pemasangan, selain aktiviti import dan eksport semula.
Menurutnya, pembangunan tersebut berpotensi menarik aktiviti industri dan perniagaan baharu, selain mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan aliran kargo melalui Pelabuhan Miri.
Datuk Amar Douglas berkata, pembangunan pelabuhan masa kini bukan lagi tertumpu kepada infrastruktur fizikal dan pengendalian kargo semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembangunan modal insan, sistem pengurusan, inovasi dan tadbir urus yang baik.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo, ADUN Batu Danau merangkap Pengerusi Lembaga Pelabuhan Miri, Dato Palu@Paulus Palu Gumbang; Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Miri, Datu Chiew Chee Yau, Residen Bahagian Miri, Galong Luang serta Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Miri, Serawa Budol.—EDISI UKAS