Pameran Mini Hari Malaysia 2026 Perkukuh Penghayatan Sejarah, MA63
MIRI: Pameran Mini Hari Malaysia 2026 di Miri bakal menjadi platform memperkukuh penghayatan masyarakat terhadap sejarah pembentukan Malaysia, termasuk peranan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam pembentukan negara.
Pameran yang berlangsung dari 10 hingga 16 September di ruang legar Pusat Beli Belah Bintang Megamall itu akan mengetengahkan kronologi pembentukan Malaysia menerusi bahan sejarah, dokumen penting serta paparan tokoh yang terlibat dalam proses berkenaan.
Antara bahan utama yang dipamerkan ialah MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Pemasyhuran Malaysia, selain paparan berkaitan jawatankuasa dan suruhanjaya yang terlibat dalam proses pembentukan Malaysia.
Pengisian berkenaan turut dilengkapkan dengan elemen kenegaraan menerusi paparan Rukun Negara, sejarah bendera Malaysia serta logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Pameran menggunakan konsep galeri statik atau ‘Plug and Play Panel’, membolehkan pengunjung menelusuri maklumat berkaitan sejarah pembentukan Malaysia secara lebih tersusun dan mudah difahami.
Penganjuran di Miri merupakan sebahagian daripada pelaksanaan pameran secara serentak di 10 bahagian di Sarawak, iaitu Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Miri, Bintulu dan Limbang.
Bagi memastikan pelaksanaan pameran berjalan lancar, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Pejabat Residen Bahagian Miri dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak telah mengadakan mesyuarat penyelarasan di Bilik Mesyuarat Jabatan Perbendaharaan Miri, Jumaat.
Mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pameran, pengisian program serta persiapan majlis perasmian yang dijadual berlangsung di Aras 1 Bintang Megamall pada 10 September.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin dijangka menyempurnakan perasmian pameran berkenaan.
Pameran tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran dan penghayatan masyarakat terhadap sejarah pembentukan Malaysia, di samping memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta budaya.
Orang ramai dipelawa mengunjungi pameran berkenaan sepanjang tempoh penganjuran bagi mendapatkan maklumat dan mengenali dengan lebih dekat sejarah pembentukan Malaysia.
Mesyuarat dipengerusikan Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Residen Bahagian Miri, Melissa Labut dan turut dihadiri Pegawai UKAS Bahagian Miri, Dayang Norazelina Hamdan, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Miri, DSP Sila Kadung serta wakil agensi kerajaan dan rakan strategik.-EDISI UKAS