SKCF Perlu Diperkasa Sebagai Platform Pewarisan Identiti Kenyah
MIRI: Festival Kebudayaan Kenyah Sarawak atau Sarawak Kenyah Cultural Festival (SKCF) perlu terus diperkasa sebagai platform pewarisan budaya bagi memastikan bahasa, seni, tradisi dan identiti masyarakat Kenyah kekal relevan serta dapat diwarisi generasi muda.
Ahli Parlimen Baram merangkap Penaung Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS), Dato Anyi Ngau berkata, kesinambungan festival itu semakin penting dalam mendepani perubahan zaman, khususnya perkembangan pesat teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang turut mempengaruhi cara generasi muda berinteraksi dan memperoleh maklumat.
Menurut beliau, warisan seperti bahasa, muzik, tarian, makanan, pakaian dan permainan tradisional perlu terus diketengahkan supaya generasi muda bukan sahaja mengenali, malah memahami dan menghargai identiti budaya mereka.
“SKCF merupakan satu platform untuk kita mewariskan semua perkara yang baik dan kekuatan yang kita miliki kepada generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing pada Majlis Penangguhan Sarawak Kenyah Cultural Festival 2026 di Bangunan FORUM, Miri, pada Jumaat.
Dato Anyi berkata, SKCF juga mempunyai nilai lebih luas kerana pengisiannya bukan sahaja tertumpu kepada aspek kebudayaan, malah merangkumi aktiviti sukan yang mampu menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Katanya, penglibatan masyarakat dalam festival itu memberi ruang untuk warisan Kenyah seperti tarian, muzik, makanan, pakaian dan permainan tradisional diperkenalkan kepada khalayak yang lebih luas.
Dalam pada itu, beliau berkata penerimaan terhadap elemen budaya seperti sape dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai latar belakang menunjukkan warisan sesuatu etnik berpotensi menjadi medium penyatuan masyarakat.
Sehubungan itu, Dato Anyi berharap SKCF edisi kelapan dapat diteruskan dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang, dengan penganjuran yang lebih baik serta pengisian yang mampu memperkukuh usaha pewarisan budaya kepada generasi muda.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Sarawak akan terus menyokong usaha mempromosi dan memelihara kebudayaan serta identiti masyarakat pelbagai etnik di negeri ini.
Turut hadir, ADUN Murum merangkap Penasihat PKKS, Kennedy Chukpai Ugon dan ADUN Pujut merangkap Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.-EDISI UKAS