KUCHING: Keupayaan penjaga warga emas di peringkat keluarga dan komuniti perlu diperkukuh seiring kecenderungan golongan itu untuk terus menua di rumah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keadaan itu memerlukan lebih ramai penjaga dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran sewajarnya bagi memastikan kesejahteraan warga emas terus terpelihara.
Menurut beliau, penjagaan warga emas bukan sahaja melibatkan aspek fizikal, malah merangkumi kesejahteraan mental dan sosioemosi.
“Kebanyakan warga emas memilih untuk menua di rumah. Oleh itu, kita meminta CENTEXS menyediakan program khusus untuk komuniti, terutama mereka yang menjaga ibu bapa atau ahli keluarga yang memerlukan penjagaan khusus,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Jamuan Muhibah Warga Emas di sini pada Sabtu.
Dato Sri Fatimah menambah, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) kini menyediakan enam kursus berkaitan penjagaan warga emas dengan setiap kursus berlangsung selama enam bulan.
Katanya, latihan profesional berkenaan perlu diperluas kepada komuniti bagi membantu ahli keluarga yang menjaga warga emas di rumah, termasuk dalam aspek penjagaan fizikal, mental dan sosioemosi.
Beliau turut memaklumkan bahawa penjagaan paliatif merupakan antara bidang yang dirancang untuk diperkenalkan bagi memenuhi keperluan penjagaan warga emas yang semakin kompleks.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah berkata, aspek mobiliti turut menjadi antara cabaran utama warga emas kerana keterbatasan pergerakan boleh mengehadkan interaksi sosial, sekali gus memberi kesan terhadap kesejahteraan mental mereka.
Sehubungan itu, katanya, sebanyak 40 kerusi roda turut disumbangkan kepada warga emas dan individu yang memerlukan bantuan mobiliti sebagai sebahagian daripada program berkenaan.
Menurut beliau lagi, usaha memperkukuh kesejahteraan warga emas memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, komuniti dan keluarga bagi mewujudkan persekitaran yang lebih mesra warga emas.
Turut hadir ialah Penaung Program merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh, Pengerusi Pengelola, Datin Ellis Suriyati Omar serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng.-EDISI UKAS