Biro Wanita Pemangkin Pemeliharaan Budaya Dan Ekonomi Masyarakat
BETONG: Biro Wanita di peringkat rumah panjang disaran terus diperkasa bagi memastikan budaya dan nilai warisan masyarakat rumah panjang dapat dipelihara untuk generasi akan datang.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, usaha memperkasa peranan wanita perlu dimulakan dari sekarang agar kesinambungan budaya serta nilai warisan masyarakat Iban terus terpelihara.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau sempena Pelancaran Biro Wanita Rumah Panjang Semumok Atas di Dewan Sukan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada Sabtu.
Menurut beliau, penganjuran program seperti majlis merarau bukan sahaja memberi ruang untuk memelihara budaya dan tradisi masyarakat rumah panjang, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat khususnya di kawasan DUN Layar.
Beliau turut memuji peranan tuai rumah dan biro wanita di kawasan Layar yang sentiasa bekerjasama di peringkat akar umbi serta saling menyokong dalam menjayakan pelbagai program yang dianjurkan oleh rumah panjang lain.
Dalam pada itu, beliau menasihati Biro Wanita Semumok Atas supaya meneroka potensi tanah milik sendiri untuk aktiviti pertanian dan seterusnya memasarkan hasil tanaman bagi menjana pendapatan tambahan.
Katanya, kedudukan strategik Rumah Panjang Semumok Atas yang berhampiran dengan bandar Betong merupakan satu kelebihan yang boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, turut merakamkan tahniah kepada Biro Wanita Semumok Atas atas penubuhannya yang bukan sahaja memainkan peranan penting dalam institusi keluarga, malah turut menyumbang kepada pentadbiran dan pembangunan masyarakat di peringkat akar umbi.
Beliau malah menggalakkan golongan wanita agar lebih aktif dalam aktiviti ekonomi termasuk menceburi bidang perniagaan, selain memanfaatkan pelbagai kursus, bengkel dan latihan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak, khususnya berkaitan pengendalian perniagaan secara dalam talian.
Menurut beliau, wanita yang mempunyai kemahiran menghasilkan produk berasaskan seni tangan juga digalakkan menceburi perniagaan dalam talian bagi memperluaskan pasaran serta mempromosikan produk mereka kepada pelanggan yang lebih luas.
Dalam masa sama, Dato Dr Richard turut menasihati penduduk di kawasan Betong agar sentiasa menjaga kesihatan diri berikutan keadaan jerebu dengan mengamalkan langkah pencegahan termasuk memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah.
Beliau turut menggalakkan rakyat memanfaatkan Program Jualan Rahmah yang dilaksanakan di kawasan Parlimen Betong melibatkan kawasan DUN Layar, Bukit Saban dan Saribas bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah sekali gus membantu mengurangkan beban kos sara hidup.
Pada majlis tersebut, Datuk Gerald Rentap dan Dato Dr Richard masing-masing menyumbangkan RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Panjang Semumok Atas bagi menyokong aktiviti dan pengoperasian biro berkenaan.
Kedua-dua mereka turut meluluskan permohonan tong air JKKK Rumah Panjang Semumok Atas bagi menjamin bekalan air di rumah panjang tersebut.
Turut hadir, Pegawai UKAS Bahagian Betong, Tony Malang, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, TPr Moris Nayup, Pemanca Masyarakat Iban Daerah Betong, Pemanca Norman Ngumbang, Penghulu Sebastian Randy Khadam, Tuai Rumah Semumok Atas, TR Johnathan Lanjang dan Pengerusi Biro Wanita Semumok Atas, Lia Ginchang. - EDISI UKAS