RM630,000 Diluluskan Bina Semula Rumah Jonathan Budon Terjejas Kebakaran
SIBU: Sebanyak RM630,000 telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi membina semula Rumah Jonathan Budon di Nanga Penasu, Batang Igan yang musnah dalam kejadian kebakaran pada Jun tahun lalu.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, peruntukan berkenaan mendapat sokongan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, serta kelulusan dripada Pengerusi JPBNS yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
"Pada masa kebakaran, semua keluarga di rumah panjang ini berdepan cabaran yang begitu besar, namun saya melihat semangat mereka untuk bangkit semula.
“Pembinaan ini bukan sekadar menyediakan kediaman baharu, sebaliknya menjadi simbol harapan baharu kepada seluruh komuniti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Rumah Jonathan Budon di Nanga Penasu, Batang Igan di sini, pada Sabtu.
Kaunselor Kevin turut menggesa penduduk agar memberikan kerjasama penuh kepada Pejabat Daerah Sibu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor bagi memastikan projek berjalan lancar mengikut jadual.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Sibu dan agensi kerajaan terlibat atas usaha merealisasikan projek tersebut.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemanca Paing Tawi, Setiausaha Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Ng Siang Wei dan Tuai Rumah Jonathan Budon. - EDISI UKAS