SEBAUH: Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 bagi kawasan Kemena membantu meringankan beban kewangan golongan belia, khususnya di luar bandar, selain meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan dan pematuhan peraturan jalan raya.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, menerusi program itu, kos mendapatkan lesen B2 dikurangkan daripada RM750 kepada hanya RM250 hasil kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak.
“Pemilikan lesen bukan sekadar memenuhi keperluan undang-undang, malah memastikan penunggang memahami tanggungjawab serta aspek keselamatan ketika berada di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 di Balai Raya Sebauh, pada Sabtu.
Dato Sri Dr Stephen turut mengingatkan golongan muda supaya tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram dan mengelakkan pengubahsuaian motosikal yang melanggar peraturan, selain menggesa ibu bapa memainkan peranan dalam membentuk sikap pemanduan yang berhemah.
Dalam majlis sama, Dato Sri Dr Rundi menyerahkan sebuah pam air berkuasa besar bernilai kira-kira RM80,000 kepada Balai Bomba dan Penyelamat Sebauh bagi memperkukuh keupayaan operasi memadam kebakaran, khususnya di rumah panjang.
Pam berkapasiti 450cc itu membolehkan bekalan air diperoleh dengan lebih pantas ketika operasi, manakala pemasangan fire breaker di rumah panjang turut ditekankan sebagai langkah mengurangkan risiko kebakaran merebak.
Turut hadir ialah Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili.-EDISI UKAS