92 Pemain Sertai Pemilihan Pasukan Pickleball MAKSAK Bintulu
BINTULU: Seramai 92 pemain membabitkan 46 pasangan bersaing dalam Sesi Pemilihan Pasukan Pickleball Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Bintulu 2026 bagi membentuk pasukan terbaik ke MAKSAK Sarawak Games 2026: Pickleball Antara Bahagian.
Setiausaha MAKSAK Bahagian Bintulu, Harun Hatta berkata, pemilihan pemain bukan sahaja berdasarkan kemahiran teknikal dan prestasi permainan, malah turut mengambil kira disiplin, komitmen, sikap serta semangat kesukanan.
“Aspek itu penting kerana pemain yang terpilih bukan sahaja membawa nama pasukan, tetapi turut mencerminkan imej penjawat awam ketika beraksi di gelanggang,” katanya semasa berucap pada sesi berkenaan di Kenyalang Pickleball Central, pada Sabtu.
Harun berkata, kemahiran permainan boleh dipertingkatkan menerusi latihan, namun sikap, disiplin dan semangat kesukanan perlu menjadi asas dalam membentuk pasukan yang berkualiti.
Sesi pemilihan itu melibatkan lima kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Veteran, Wanita Veteran dan Campuran Beregu.
Sebanyak 109 perlawanan dijadualkan berlangsung bagi menilai prestasi peserta sebelum pemain dan pasangan terbaik dipertimbangkan untuk mewakili MAKSAK Bahagian Bintulu pada kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 September ini.—EDISI UKAS