BEKENU: Golongan belia di Subis digalak meneroka sektor tanaman dan penternakan sebagai bidang keusahawanan bagi membuka sumber pendapatan baharu, dengan kerajaan menyediakan pelbagai program, kemudahan dan sokongan untuk membantu mereka menceburi sektor agro.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr Ripin Lamat berkata, Subis mempunyai potensi besar untuk melahirkan lebih ramai agropreneur muda memandangkan sebahagian masyarakat setempat telah mempunyai pengalaman dalam aktiviti berasaskan pertanian, khususnya tanaman kelapa sawit.
Beliau berkata, golongan muda tidak seharusnya bergantung kepada satu komoditi sahaja, sebaliknya perlu melihat peluang dalam bidang lain termasuk pertanian pintar, tanaman makanan serta penternakan ayam kampung, ayam penelur, kambing dan lembu.
“Antara bidang yang boleh diterokai termasuk penternakan ayam kampung, ayam penelur, kambing dan lembu selain pertanian pintar menerusi kemudahan Smart Farming Centre yang disediakan Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) di Kabuloh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Program Youth Entrepreneur Setup (YES) 3.0 – Agropreneur di Dewan Masyarakat Bekenu pada Sabtu.
Datuk Dr Ripin turut menggalakkan pemilik tanah berskala kecil, termasuk tanah sekitar satu hingga dua ekar yang tidak dimanfaatkan, supaya mengusahakannya bagi aktiviti pertanian atau penternakan yang berpotensi menjana pendapatan.
Program YES 3.0 – Agropreneur menjadi platform menyampaikan maklumat berkaitan peluang, program dan bantuan kerajaan kepada golongan sasaran, khususnya belia berusia 18 hingga 40 tahun.
Kira-kira 300 peserta terdiri daripada belia, lepasan sekolah dan pelajar dalam bidang berkaitan pertanian menyertai program berkenaan yang turut melibatkan penyampaian maklumat mengenai kemudahan dan bantuan disediakan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), DOA serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS).—EDISI UKAS