Projek Kenyalang Bersaok Siri Kedua 2026 Perkasa Warisan Tandak Nopeng
KUCHING: Projek Kenyalang Bersaok Siri Kedua 2026 melabuhkan tirai hari ini selepas berjaya menghimpunkan 12 pasukan dalam usaha memartabatkan dan melestarikan warisan Tandak Nopeng sebagai identiti budaya Melayu Sarawak.
Presiden Kelab Prodigi Kenyalang Kuching (Kenyalang Prodigy), Muhammad Nur Fawwiz Bolkiah berkata, Tandak Nopeng bukan sekadar persembahan seni, malah menjadi lambang identiti, perpaduan dan warisan masyarakat Melayu Sarawak.
Menurut beliau, golongan belia memainkan peranan penting sebagai pewaris dalam memastikan kelangsungan seni budaya berkenaan terus terpelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Projek Kenyalang Bersaok menjadi platform untuk mendidik dan memperkenalkan generasi muda kepada nilai serta keaslian Tandak Nopeng, di samping memperkukuh usaha mengangkat warisan tersebut ke peringkat yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Projek Kenyalang Bersaok Siri Kedua 2026 di Creative Heritage Innovation Center, Sarawak Multimedia Authority, di sini, pada Sabtu.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan sembilan pasukan bagi Kategori Belia dan tiga pasukan Kategori Kanak-Kanak yang diperkenalkan buat julung kalinya bagi menyemai minat terhadap seni warisan dalam kalangan generasi muda.
Mengulas penyertaan antarabangsa, Muhammad Nur Fawwiz berkata walaupun edisi kali ini tidak menampilkan pasukan bertanding dari negara jiran, kehadiran wakil Konsulat Jeneral Republik Indonesia dan Timbalan Konsul Jeneral Brunei Darussalam di Kuching mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa warisan budaya serantau.
Beliau berharap penyertaan antarabangsa dapat diteruskan pada edisi akan datang bagi memperluas jaringan kerjasama serta mengangkat Tandak Nopeng ke peringkat lebih luas.
Turut hadir, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Dr. Abdullah Zulkifli, Timbalan Konsul Jeneral Brunei Darussalam di Kuching, Muhammad Nur’izzuddin Osman, Ketua Seksyen Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dayang Morzanah Awang Haddy serta Ketua Hakim Pertandingan Tandak Melayu Sarawak dan Ketua Fasilitator Bengkel Tandak Melayu Sarawak sempena Projek Kenyalang Bersaok, Mohamad Shahrizan Fiqhri Amkadzafria@Hamka.- EDISI UKAS