Jennyla, Hishamudin Hadirkan Dua Gangsa Buat Sarawak
SELANGOR: Dua aksi berbeza di gelanggang dan trek, namun berakhir dengan warna yang sama iaitu gangsa buat Sarawak apabila Jennyla Kueh@Waret dan Mohamad Hishamudin Razali masing-masing mengukir tempat ketiga dalam saingan olahraga Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026.
Jennyla membuka tirai dengan lontaran sejauh 5.08 meter dalam acara Lontar Peluru kategori WF55/WF56/WF57, manakala Hishamudin kemudian mengheret nafas panjang di trek 1,500 meter LT36 sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan 6 minit 40 saat.
Bagi Jennyla, pingat gangsa itu lahir daripada lontaran ketiganya yang mengatasi catatan peserta Sarawak, Marai, yang menamatkan saingan di tempat keempat dengan jarak 4.83 meter (m).
Atlet Selangor, Nur Adzra Sophea, menguasai emas dengan 6.39m, manakala Nur Safra dari Terengganu membawa pulang perak menerusi 5.23m.
Namun, perlumbaan Hishamudin menyajikan kisah yang berbeza di mana beliau berhadapan saingan yang pantas sejak awal.
Catatan Hishamudin bagaimanapun masih dipisahkan dengan jurang lebih 20 saat daripada pemenang emas, Mahfudz Mahzan dari Perlis yang mencatat 6 minit 15 saat manakala perak menjadi milik Mohd Arman Rosli dari Selangor dengan catatan masa 6 minit 18 saat.
Kedua-dua atlet berkenaan berjaya memastikan nama Sarawak terus berada dalam perebutan podium ketika persaingan olahraga semakin sengit di Selangor. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi