IPU Serian Menurun Kepada 185, JPBNS Terus Pantau Situasi Jerebu
KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian menunjukkan trend penurunan kepada 185 setakat jam 12 tengah hari Ahad, namun masih berada pada kategori tidak sihat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemantauan terhadap situasi jerebu akan terus dilaksanakan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan perkembangan semasa.
Menurut beliau, pemantauan itu merangkumi kualiti udara, keadaan cuaca, titik panas serta pergerakan jerebu, memandangkan bacaan IPU turut dipengaruhi arah angin dan lokasi titik panas.
“Oleh itu, pemantauan akan terus dijalankan sebelum sebarang cadangan dikemukakan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung status darurat di Serian,” katanya dalam kenyataan JPBNS pada Ahad.
Datuk Amar Douglas menambah, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan keadaan cuaca agak kering dari 6 hingga 12 September 2026.
Sementara itu, data ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 5 September merekodkan tiada titik panas dikesan di Sarawak, manakala 184 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia.
Dalam pada itu, pejabat kerajaan, swasta dan tempat kerja lain di kawasan terjejas termasuk industri, ladang, tapak pembinaan serta kuari dibenarkan terus beroperasi dengan mengambil langkah berjaga-jaga berkaitan kesihatan.
Mengenai Operasi Pembenihan Awan (OPA), beliau berkata, operasi berkenaan dilanjutkan sehingga 7 September.
Operasi pada 5 September berjaya dilaksanakan susulan pembentukan awan yang sesuai di kawasan Empangan Bakun dan Murum sehingga menghasilkan hujan.
“Operasi hari ini akan diteruskan seperti yang dirancang dan dilaksanakan di kawasan yang mempunyai keadaan awan dan cuaca yang sesuai,” ujarnya.-EDISI UKAS