Belia Perlu Diberi Ruang Pimpin Pembangunan Kampung
ASAJAYA: Golongan belia perlu diberi ruang lebih besar untuk menerajui pembangunan kampung menerusi konsep ‘One CEO One Village’ bagi memperkukuh peranan generasi muda dalam merancang dan melaksanakan inisiatif pembangunan komuniti.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, pendekatan itu boleh menggalakkan golongan muda mengambil tanggungjawab lebih besar terhadap kemajuan kampung masing-masing.
“Anak muda mempunyai bakat dan kemahiran untuk menyumbang kepada masyarakat. Kita mahu mereka tampil sebagai pemimpin dan membawa idea baharu bagi memastikan kawasan luar bandar, khususnya kampung, dapat terus dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan P197 Esports Reborn PUBG Mobile 2026 di Dewan Masyarakat Kampung Asajaya Ulu, di sini pada Ahad.
Menurut Datuk Rubiah, kekuatan sesebuah kawasan, negeri dan negara bergantung kepada keupayaan generasi muda memainkan peranan masing-masing serta meningkatkan sumbangan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Beliau berkata, golongan belia perlu melihat kampung bukan sekadar sebagai tempat tinggal, sebaliknya sebagai ruang untuk mencetuskan idea dan melaksanakan inisiatif yang mampu meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Katanya, antara pendekatan yang boleh diteroka termasuk pembangunan konsep ‘Smart Village’, penambahbaikan kemudahan internet serta pewujudan peluang keusahawanan yang bersesuaian dengan potensi dan sumber tempatan.
Beliau berkata, penglibatan aktif belia penting bagi memastikan keperluan dan aspirasi generasi baharu dapat diterjemahkan dalam perancangan pembangunan di peringkat kampung.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai golongan belia di Kota Samarahan, khususnya Asajaya, tampil mengemukakan idea dan mengambil peranan dalam pelbagai inisiatif pembangunan setempat.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang; Penghulu Kampung Asajaya, Dahlan Man; Ketua Kaum Kampung Asajaya Ulu, Azri Dris; dan Pengerusi Penganjur Pertandingan P197 Esports Reborn PUBG Mobile 2026, Mohd Hakim Sahib.- EDISI UKAS