Program Bina Komuniti Tanjung Manis Perkasa Kemahiran, Tingkat Taraf Hidup Masyarakat
TANJUNG MANIS: Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bina Komuniti Tanjung Manis 2026 menjadi platform memperkasa masyarakat luar bandar menerusi pembangunan kemahiran, peluang pekerjaan dan peningkatan taraf hidup komuniti setempat.
Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, tema program “Building Skills, Empowering Community” bukan sekadar slogan, sebaliknya mencerminkan pendekatan pembangunan yang memberi penekanan kepada pembinaan modal insan.
Menurut beliau, pembangunan sebenar tidak hanya diukur berdasarkan pembinaan infrastruktur fizikal seperti bangunan, jalan raya dan jambatan, tetapi turut merangkumi jumlah insan yang diperkasa, kemahiran yang dilahirkan serta peluang yang diwujudkan untuk meningkatkan kehidupan masyarakat.
“Tiada kemahiran yang kecil apabila kemahiran itu mampu mengubah kehidupan seseorang.
“Seorang anak muda yang mempunyai kemahiran dan kompetensi mempunyai lebih banyak pilihan, sama ada mendapatkan pekerjaan, meningkatkan pendapatan, menjadi pekerja mahir atau pada satu tahap menjadi usahawan yang menawarkan perkhidmatan dan membina perniagaan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program CSR Bina Komuniti Tanjung Manis 2026 yang berlangsung di Dewan Kampung Sebayang, Tanjung Manis, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata masyarakat perlu melihat bidang kemahiran sebagai satu kerjaya yang mempunyai masa depan dan bukan sekadar pilihan terakhir dalam dunia pekerjaan.
Program berkenaan turut membuka ruang kepada masyarakat Tanjung Manis mendapatkan pendedahan dan latihan dalam bidang kemahiran pembinaan melalui kerjasama dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM), antaranya Building Decorative Painting Level 1 dan Rooftruss Installer.
Dato Ir Yusuf berkata, keberkesanan program seumpama itu tidak seharusnya diukur berdasarkan pelaksanaannya dalam tempoh sehari sahaja, sebaliknya perlu dilihat dari segi impak jangka panjang kepada peserta dan komuniti.
“Adakah peserta terus menggunakan kemahiran yang dipelajari? Adakah mereka mendapat peluang untuk meningkatkan kompetensi? Adakah kemahiran tersebut dapat membawa mereka kepada pekerjaan atau pendapatan yang lebih baik?
“Dan akhirnya, adakah komuniti benar-benar mendapat manfaat? Inilah ukuran sebenar kejayaan. Kita tidak mahu sekadar melaksanakan program, tetapi kita mahu mencipta impak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan komuniti memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk CIDB, ABM, Puspanita, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat serta komuniti setempat.
Katanya, kekuatan yang digabungkan melalui kerjasama tersebut bukan sahaja membolehkan pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), malah mampu mewujudkan ekosistem pemerkasaan masyarakat yang lebih menyeluruh.
Selain pembangunan kemahiran, program berkenaan turut memberi perhatian kepada usaha baik pulih dan menaik taraf kemudahan komuniti di Dewan Masyarakat Kampung Sebayang serta Sekolah Kebangsaan (SK) Mupong.
Menurut beliau, usaha tersebut membawa makna yang lebih besar kerana kemudahan komuniti yang lebih baik dapat menyediakan ruang kondusif untuk masyarakat berkumpul, berinteraksi dan melaksanakan pelbagai aktiviti, manakala kemudahan sekolah yang ditambah baik dapat membantu menyediakan persekitaran pembelajaran lebih baik kepada generasi akan datang. - EDISI UKAS