ASAJAYA: Bidang e-sukan kini bukan lagi sekadar aktiviti hiburan, sebaliknya berpotensi menjadi platform pembangunan bakat dan kerjaya masa depan golongan belia selaras perkembangan pesat teknologi digital.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, berkata golongan muda perlu memanfaatkan minat terhadap e-sukan dengan meningkatkan kemahiran serta meneroka peluang lebih luas dalam industri digital.
Menurut beliau, e-sukan mempunyai potensi besar membuka pelbagai peluang kerjaya termasuk pemain profesional, jurulatih, pencipta kandungan, penstrim serta tenaga profesional dalam industri digital.
“E-sukan bukan sukan biasa-biasa kerana nilainya sudah berkembang begitu besar. Minat ini tidak salah, tetapi kita perlu tingkatkan lagi kualiti dan kemahiran supaya bidang ini boleh menjadi satu kerjaya pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan P197 Esports Reborn PUBG Mobile 2026 di Dewan Masyarakat Kampung Asajaya Ulu, di sini pada Ahad.
Pertandingan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Kota Samarahan bersama Kelab Sukan Elektronik Kota Samarahan dan Isyeikh Smartphone & PC Repair Centre itu disertai 17 pasukan.
Datuk Rubiah berkata, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi menuntut golongan belia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya menguasai kemahiran yang dapat memberi manfaat kepada masa depan.
“Jangan pandai main PUBG sahaja, tetapi gunakan kemahiran ini dalam bidang-bidang lain. Kalau belum tahu penggunaan AI, belajarlah. Kalau belum pandai pemasaran digital, belajarlah. Kuasai kemahiran yang boleh membantu masa depan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan muda mengikuti latihan kemahiran berkaitan AI, teknologi dan e-sukan yang ditawarkan menerusi pelbagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sarawak.
Menurutnya, penguasaan kemahiran tersebut penting bagi membolehkan golongan belia bersaing dalam industri digital yang berkembang pesat.
Datuk Rubiah berharap lebih banyak platform e-sukan dapat dianjurkan pada masa akan datang bagi memberi ruang kepada golongan belia mengasah bakat, meningkatkan kemahiran serta meneroka peluang kerjaya dalam industri digital.
Pertandingan itu menawarkan hadiah RM1,500 berserta piala kepada juara, RM1,000 berserta piala kepada naib juara, RM800 berserta piala bagi tempat ketiga dan RM200 untuk Pemain Paling Bernilai (MVP).
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang; Penghulu Kampung Asajaya, Dahlan Man; Ketua Kaum Kampung Asajaya Ulu, Azri Dris; dan Pengerusi Penganjur Pertandingan P197 Esports Reborn PUBG Mobile 2026, Mohd Hakim Sahib.- EDISI UKAS