Kepimpinan Kontinjen Bangga Anson Hadiahkan Emas Pertama Sarawak
SELANGOR: Kejayaan Anson Tiong menghadiahkan pingat emas pertama buat Sarawak pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 disifatkan sebagai permulaan positif yang mampu menyuntik semangat kepada atlet lain dalam meneruskan pemburuan pingat.
Atlet muda para powerlifting itu mencipta detik membanggakan selepas mengungguli acara Lelaki Kategori 49 kilogram (M49 A) pada penampilan sulungnya di pentas Para SUKMA.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Chef de Mission (CDM) Para SUKMA Sarawak, Datuk Dr Mohamad Razi Sitam berkata, pencapaian atlet berusia 19 tahun itu lebih bermakna apabila berjaya memenuhi sasaran emas yang ditetapkan pihak pengurusan dan barisan jurulatih.
Menurut beliau, kejayaan berkenaan diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada atlet Sarawak lain yang bakal meneruskan cabaran dalam acara masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara penyampaian pingat bagi acara berkenaan, di sini pada Ahad.
Datuk Dr Mohamad Razi turut menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian Anson yang berjaya membuka akaun emas kontinjen Bumi Kenyalang.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Para Powerlifting Sarawak, Rusmalina Mat Darus berkata, kejayaan Anson cukup membanggakan memandangkan atlet dari Betong itu masih baharu dalam sukan berkenaan.
Katanya, Anson baru kira-kira setahun menceburi para powerlifting, namun menunjukkan perkembangan prestasi yang ketara sehingga mampu muncul juara dalam penampilan pertamanya di Para SUKMA.
“Kami sebenarnya tidak menyangka Anson mampu menunjukkan peningkatan sebegitu sehingga berjaya mendapatkan pingat emas pada penampilan sulungnya,” katanya.
Kejayaan tersebut sekali gus memberikan momentum awal kepada kontinjen Sarawak dalam meneruskan cabaran memburu lebih banyak pingat sepanjang temasya Para SUKMA Selangor 2026. -EDISI UKAS