Lebih RM10 Juta Peruntukan UNIFOR Disalur Ke Senadin Dalam Lima Tahun
MIRI: Lebih RM10 juta peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah disalurkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin dalam tempoh lima tahun lalu bagi membantu menaik taraf rumah ibadat dan kemudahan berkaitan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata bantuan berkenaan bertujuan menyediakan infrastruktur rumah ibadat yang lebih baik, selamat dan selesa, selain membolehkan pertubuhan agama terus memainkan peranan dalam mengeratkan hubungan masyarakat serta memupuk keharmonian antara agama.
“Kerajaan Sarawak menghargai kepelbagaian masyarakat dan menghormati perkembangan semua agama. Selagi sesuatu usaha memberi manfaat kepada keharmonian masyarakat dan kebajikan rakyat, kita akan berusaha memberikan sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ullambana dan Sembahyang Peringatan 2026 Pertubuhan Meditasi Buddha Miri di Kuil Buddha, Bukit Kanada, di sini, pada Ahad.
Dato Sri Lee berkata, peruntukan itu turut memberi manfaat kepada Pertubuhan Meditasi Buddha Miri dan Kuil Buddha.
Sementara itu, bercakap mengenai sambutan Ullambana, beliau berkata, ia bukan sekadar tradisi, malah membawa nilai penting seperti menghormati ibu bapa, mengenang jasa nenek moyang, mengamalkan belas kasihan dan melakukan kebajikan.
Menurutnya, nilai tersebut perlu terus diwariskan kepada generasi muda supaya mereka memahami kepentingan menghargai keluarga, menghormati golongan lebih tua dan prihatin terhadap masyarakat.
Beliau berharap lebih ramai golongan muda dapat dilibatkan dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan bagi memastikan nilai murni tersebut terus diamalkan dan diwarisi.-EDISI UKAS