Tebingan Sungai Bintangor Berpotensi Jadi Lokasi Baharu Pesta Meradong
BINTANGOR: Kawasan tebingan sungai di Bintangor berpotensi dikembangkan sebagai lokasi yang lebih sesuai bagi penganjuran Pesta Meradong pada masa akan datang, sekali gus memberi ruang kepada program berkenaan untuk tampil lebih besar dan tersusun.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, perkembangan acara dari tahun ke tahun memerlukan ruang yang lebih luas bagi menampung jumlah pengunjung, peniaga serta pelbagai aktiviti yang semakin bertambah.
Menurutnya, kekangan dari segi tapak, ruang jualan dan keadaan jalan ketika ini antara perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya penganjuran festival mahu terus diperkasakan.
Beliau berkata, pembangunan kawasan tebingan sungai boleh membuka peluang kepada penganjur untuk merancang susun atur pesta dengan lebih baik selain mewujudkan suasana yang lebih menarik kepada pengunjung.
“Kita berharap pada masa akan datang kawasan ini dapat diperluaskan dan kita boleh buat sesuatu yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan Pesta Meradong 2026 di Bintangor pada Sabtu.
Beliau berkata, kemudahan dan ruang yang lebih baik bukan sahaja penting untuk keselesaan pengunjung, malah dapat memberi peluang kepada lebih ramai peniaga tempatan menyertai acara berkenaan.
Katanya, perkembangan tersebut juga perlu dilihat dalam konteks usaha menjadikan Bintangor sebagai lokasi yang lebih menarik untuk dikunjungi, khususnya apabila program berkenaan semakin dikenali.
Beliau turut menyambut baik perancangan pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada kawasan tebingan sungai dan berharap idea tersebut dapat direalisasikan secara berperingkat.
Menurutnya, Pesta Meradong berpotensi menjadi acara yang lebih besar pada masa akan datang sekiranya kemudahan, lokasi dan perancangan penganjuran dapat diperkukuhkan.-EDISI UKAS