Projek Tebingan Sungai Bintangor Dijangka Ditender Hujung Tahun Ini
BINTANGOR: Projek menaik taraf tebingan Sungai Bintangor kini berada pada peringkat akhir reka bentuk dan dijangka memasuki proses tender menjelang penghujung tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, keseluruhan tapak bagi projek berkenaan telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Perancangan Negeri (SPA), sekali gus membolehkan proses perancangan diteruskan ke fasa seterusnya.
Beliau berkata, jajaran projek tersebut dirancang bermula dari kawasan berkenaan hingga ke ferry ramp, dengan reka bentuk kini hampir dimuktamadkan sebelum proses tender dilaksanakan.
“Projek ini sudah dalam peringkat akhir reka bentuk dan diharapkan dapat ditender pada hujung tahun ini. Mungkin projek dapat bermula pada tahun depan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Meradong 2026 di Bintangor pada Sabtu.
Menurutnya, perkembangan tersebut menunjukkan projek berkenaan semakin menghampiri peringkat pelaksanaan selepas melalui proses berkaitan termasuk kelulusan tapak dan penyediaan reka bentuk.
Katanya, proses tender merupakan langkah penting sebelum kerja-kerja fizikal dapat dimulakan, dengan pelaksanaan projek dijangka memberi manfaat kepada kawasan sekitar Sungai Bintangor.
Projek menaik taraf tebing berkenaan turut dilihat sebagai satu usaha untuk memperkemas kawasan sungai serta meningkatkan kemudahan dan persekitaran di sepanjang jajaran yang terlibat.
Datuk Ding berkata, pembangunan infrastruktur seperti itu penting bagi memastikan kawasan berkenaan terus mempunyai kemudahan yang lebih baik seiring dengan keperluan masyarakat dan perkembangan setempat.
Beliau berharap proses reka bentuk dan tender dapat berjalan mengikut perancangan supaya projek tersebut dapat dimulakan pada tahun hadapan.
Perkembangan projek itu turut mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur di kawasan Bintangor melalui pelaksanaan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat.-EDISI UKAS