Kemudahan Komuniti Jadi Platform Perkasa Sukan Pump Track
MIRI: Kemudahan Velosolutions Pump Track di Taman Bulatan Miri yang dibangunkan untuk komuniti dan golongan muda kini menjadi lokasi kelayakan ke UCI Pump Track World Championships.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata perkembangan tersebut membuktikan kemudahan berkenaan mampu dimanfaatkan untuk penganjuran pertandingan di peringkat antarabangsa.
“Ini sesuatu yang membanggakan apabila kemudahan yang dibangunkan untuk komuniti tempatan kini mampu menarik penyertaan pelumba dari pelbagai negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Velosolutions UCI Pump Track World Championships Qualifier Miri – Malaysia 2026 di Taman Bulatan Miri, di sini, pada Ahad.
Datuk Sebastian yakin dan gembira dengan penganjuran pertandingan tersebut kerana ia mampu melahirkan bakat baharu dari Sarawak dan Malaysia untuk menceburi sukan pump track.
Dalam pada itu, beliau berkata kehadiran peserta dari luar negara turut memberi peluang memperkenalkan makanan dan kraftangan tempatan menerusi Food and Crafts Village.
Kejohanan yang berlangsung pada 5 dan 6 September itu menghimpunkan pelumba dari Malaysia, Brunei Darussalam, China, Perancis, Indonesia, Jepun, Singapura, Thailand, Australia dan beberapa negara lain.
Untuk rekod, peserta kategori Elite Men pada kejohanan tersebut dimenangi pelumba dari Jepun, manakala kategori Elite Women dimenangi pelumba dari Perancis yang akan memburu laluan ke World Championships Final di Beijing nanti.-EDISI UKAS