41 Sekolah Di Tanjong Manis Terima Sumbangan TV Pintar Bagi Perkasa Pembelajaran Digital
TANJONG MANIS: Sebanyak 41 buah sekolah di kawasan Parlimen Tanjong Manis bakal menerima sumbangan TV pintar bersaiz 65 inci daripada Pusat Khidmat Tanjong Manis bagi menyokong pelaksanaan pembelajaran berasaskan digital di sekolah.
Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, setiap sekolah akan menerima satu atau dua unit TV pintar bergantung kepada jumlah pelajar dan keperluan sekolah masing-masing.
Menurut beliau, sumbangan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa, dengan 25 buah sekolah menerima sumbangan dalam Fasa 1 manakala baki 16 buah sekolah akan menerima sumbangan menerusi Fasa 2 sebelum penghujung tahun ini.
“Di dalam era digital yang berkembang pesat ini, bidang pendidikan menuntut kita untuk memanfaatkan teknologi terkini.
“Proses pembelajaran tidak lagi terhad kepada buku teks dan papan tulis semata-mata, malah liputan visual serta multimedia interaktif kini menjadi pemangkin utama dalam menarik minat serta meningkatkan kefahaman murid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas inisiatif Pusat Khidmat Tanjong Manis dalam memperkasakan kemudahan teknologi pendidikan di sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen berkenaan semasa Program CSR Bina Komuniti Tanjung Manis 2026 di Dewan Masyarakat Sebayang dan SK Mupong pada Ahad.
Tambah beliau, sumbangan berkenaan diharap dapat menyokong usaha warga sekolah dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang selari dengan konsep Digital Classroom.
“Dengan adanya kemudahan ini, saya berharap para guru dapat menyampaikan bahan pengajaran berasaskan digital, video interaktif dan aplikasi pembelajaran terkini dengan lebih berkesan.
“Ia juga dapat membantu menarik minat dan meningkatkan tumpuan pelajar sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah,” katanya.
Menurut Dato Ir Yusuf, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Pusat Khidmat Tanjong Manis dalam membantu meningkatkan kemudahan pendidikan, khususnya dari aspek penggunaan teknologi digital di sekolah.
Katanya, kemudahan TV pintar berkenaan dijangka memberi nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran dengan membolehkan guru mengintegrasikan elemen visual, video, persembahan digital serta bahan interaktif dalam penyampaian mata pelajaran.
Usaha itu juga diharap dapat membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik, interaktif dan sesuai dengan keperluan pendidikan masa kini, di samping memperkukuh kesiapsiagaan sekolah dalam menghadapi perkembangan teknologi pendidikan yang semakin pesat.
Dengan pelaksanaan sumbangan secara berfasa, kesemua 41 buah sekolah di kawasan Parlimen Tanjong Manis dijangka menerima kemudahan tersebut sebelum penghujung tahun ini.
Setakat ini dua buah sekolah telah menerima sumbangan iaitu Sekolah Kebangsaan Sebayang dan Sekolah Kebangsaan Mupong. - EDISI UKAS