Hari Malaysia 2026: Suara Rakyat Sarawak Angkat Perpaduan, Patriotisme
KUCHING: Perpaduan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang menjadi antara nilai paling dibanggakan rakyat Sarawak menjelang Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 yang bakal berlangsung di negeri ini pada 16 September depan.
Bagi masyarakat yang ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), sambutan itu bukan sekadar memperingati detik bersejarah pembentukan Malaysia, malah membawa harapan agar semangat kebersamaan terus diperkukuh, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Ani Dindang, 55, menyifatkan pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah sebagai satu penghormatan, selain berharap sambutan kali ini turut membawa makna lebih besar kepada rakyat negeri ini, termasuk dalam perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya berharap Hari Malaysia tahun ini akan mengabulkan permintaan rakyat Sarawak mengenai MA63 akan jadi kenyataan supaya rakyat Sarawak tidak menunggu-nunggu bilakah benda tu akan terjadi,” katanya ketika ditemui pada Ahad.
Bagi Aliah Najwa, 25, semangat Hari Malaysia perlu terus disemai dalam kalangan generasi muda agar penghayatan terhadap sejarah pembentukan negara tidak hanya terhenti di bilik darjah.
“Dalam era sekarang, kita perlu memantapkan lagi pemahaman dan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda,” jelasnya.
Menurutnya, pemahaman mengenai sejarah dan makna pembentukan Malaysia penting dalam membina generasi yang lebih menghargai perjalanan negara, selain menyifatkan kemajuan Sarawak dan Malaysia sejak sedekad lalu sebagai sesuatu yang membanggakan.
Sementara itu, Ezri Mukhriz, 34, berkata penganjuran sambutan peringkat kebangsaan di Sarawak membuka peluang untuk memperkenalkan keistimewaan Bumi Kenyalang kepada rakyat dari seluruh negara.
Baginya, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan antara kekuatan Sarawak yang wajar diketengahkan bersempena sambutan tersebut.
“Paling membanggakan kami sudah semestinya perpaduan kita sebagai orang Sarawak. Tidak kira bangsa, agama, mahupun latar belakang, kita semua boleh duduk bersama di satu meja dan makan bersama-sama tanpa ada sebarang keraguan,” katanya.
Nada sama dikongsi Nur Armiza, 36, yang melihat penganjuran sambutan itu sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya dan keunikan Sarawak kepada seluruh Malaysia.
“Kita boleh tingkatkan lagi perpaduan kita agar kita menjadi sebuah negara yang lebih baik,” katanya.
Sarawak menjadi tuan rumah Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 tetamu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 September ini.
Selain acara kemuncak di BCCK, pameran sempena sambutan akan berlangsung di Plaza Merdeka dari 10 hingga 16 September, selain pameran mini di 10 bahagian di Sarawak iaitu Sri Aman, Sibu, Miri, Limbang, Sarikei, Kapit, Bintulu, Mukah, Betong dan Serian.
Pengisian sambutan turut merangkumi dua majlis kesyukuran peringkat Sarawak iaitu Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Hotel Pullman pada 14 September dan Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek pada 15 September. -EDISI UKAS