PPKK Perlu Lebih Proaktif Dalam Perkukuh Perlindungan Kanak-Kanak
KUCHING: Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) perlu memainkan peranan lebih proaktif di peringkat komuniti dalam memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak menerusi pendekatan pencegahan dan intervensi awal.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata PPKK memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan di peringkat komuniti dalam menyelaras perkhidmatan kepada kanak-kanak dan keluarga, selain menghubungkan komuniti dengan agensi berkaitan.
Beliau berkata, usaha tersebut selaras dengan tema “Melakar Perlindungan Inklusif Menuju Generasi Sejahtera” yang diangkat dalam Simposium PPKK Kebangsaan 2026.
“PPKK bukan sahaja bertindak apabila berlaku kes, tetapi perlu bergerak secara lebih proaktif melalui pendekatan pencegahan dan intervensi awal agar setiap kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran yang selamat dan sejahtera,” katanya ketika merasmikan simposium berkenaan di sebuah hotel, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Sri Nancy memaklumkan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melantik sebanyak 141 PPKK yang dianggotai 1,225 ahli bagi tempoh 2024 hingga 2026, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut beliau, bagi menyokong pelaksanaan program, kementeriannya memperuntukkan RM750,000 untuk aktiviti PPKK pada tahun ini, selain kira-kira RM3.5 juta bagi pengurusan dan operasi Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, Ahli Parlimen Santubong itu memaklumkan, Sarawak menerima RM365,000 untuk 14 PPKK, manakala RM435,340 lagi diperuntukkan bagi pengoperasian 14 PAKK sedia ada serta sebuah PAKK baharu.
Tambahnya, sepanjang tahun 2025, sebanyak 3,419 program telah dilaksanakan di bawah PAKK yang memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 kanak-kanak di seluruh negara.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 sahaja, sebanyak 1,580 program telah dilaksanakan dan memberi manfaat kepada lebih 29,000 kanak-kanak,” ujarnya.-EDISI UKAS