Malam Pembukaan BCF 2026 Sarat Persembahan Kebudayaan, Pukau Ribuan Pengunjung
SIBU: Kemeriahan Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2026 membuka tirainya dengan penuh gilang-gemilang di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini pada Ahad, menyaksikan kehadiran ribuan pengunjung tempatan dan luar.
Majlis perasmian BCF 2026 yang bertemakan “Echoes of Borneo” itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Clarence Ting Ing Horh.
Gimik perasmian yang bermula sekitar jam 8:00 malam itu dimeriahkan dengan acara perasmian lampu pintu gerbang BCF, sekali gus menandakan bermulanya pesta kebudayaan tahunan yang dinanti-nantikan itu.
Meskipun kawasan sekitar dilanda sedikit masalah jerebu, keadaan tersebut sama sekali tidak menghalang kehangatan dan kebangkitan semangat ribuan pengunjung yang mula membanjiri dataran seawal jam 6:00 petang bagi menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan unik dan warna-warni.
Acara malam pembukaan disajikan dengan pelbagai persembahan pentas bermula daripada persembahan awal oleh KEMADA.
Persembahan pembukaan rasmi BCF 2026 menampilkan gabungan mantap pertunjukan seni dan tari daripada Hornland Dance Theatre, Link Martial Art Theatre, SJK Su Lai, SM Wong Nai Siong, SMK Sacred Heart, D’Tari serta Elemenz.
Turut menyerikan suasana malam perasmian adalah persembahan kebudayaan khas daripada kumpulan Kaki Seni Gerhayu, persembahan kebudayaan murid SM Wong Nai Siong, serta persembahan muzik secara langsung oleh penyanyi tempatan popular, K’Lunan Magat.
Program BCF 2026 anjuran MPS ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Hadir sama Pengerusi Pengelola BCF 2026 Kaunselor Michelle Law serta barisan ahli majlis MPS yang lain.-EDISI UKAS