UNIFOR Terus Sokong Pembangunan Rumah Ibadat Di Sarawak
PADAWAN: Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) akan terus menyokong pembangunan gereja dan rumah ibadat agama-agama lain di negeri ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil, berkata sokongan berkenaan penting bagi memastikan keperluan pembangunan rumah ibadat pelbagai komuniti di Sarawak terus diberi perhatian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu menambah, pembangunan bangunan baharu Gereja Saint Gregory Giam merupakan hasil kerjasama baik pihak gereja dan komuniti setempat, selain sokongan peruntukan yang disalurkan.
“UNIFOR bukan sahaja membantu pembangunan gereja dan rumah ibadat agama-agama lain, malah turut memainkan peranan dalam membantu sekolah-sekolah mubaligh di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu dan Sambutan Hari Saint Gregory Gereja Saint Gregory Giam, pada Ahad.
Datuk Dr. Jerip menambah, pihak gereja juga perlu terus mengemukakan keperluan pembangunan yang masih diperlukan untuk dibawa kepada UNIFOR bagi pertimbangan selanjutnya.
Beliau berkata UNIFOR turut memantau penggunaan peruntukan yang disalurkan bagi memastikan dana pembangunan digunakan dengan sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata peranan gereja turut merangkumi aspek pembangunan komuniti dan pendidikan, khususnya menerusi kewujudan sekolah mubaligh di kawasan DUN Mambong.-EDISI UKAS