Emas Rusdianto Jadi Pemanas Sebelum Pentas Para Asian Nagoya
SELANGOR: Rusdianto Rusmadi tidak perlu menunggu lama untuk menghantar isyarat awal menjelang misi lebih besar di pentas antarabangsa apabila emas 400 meter gaya bebas S8 lelaki pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 hadir bersama rekod baharu kebangsaan.
Perenang berusia 33 tahun itu bukan sahaja muncul juara, malah mempertajam catatan peribadi daripada 5 minit 24 saat kepada 5 minit 20 saat, peningkatan empat saat yang cukup untuk mengangkat namanya ke tahap baharu dalam acara tersebut.
Lebih penting, catatan berkenaan hadir pada masa tepat ketika Rusdianto sedang membina momentum menuju Para Asian Nagoya, Aichi bulan depan, selepas berjaya memenuhi syarat kelayakan menerusi catatan masa ditetapkan.
“PB sebelum ini 5 minit 24 saat, kali ini saya berjaya pecahkan kepada 5 minit 20 saat. Mungkin selepas ini saya boleh pecahkan lagi untuk kejohanan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyampaian pingat acara 400 Meter Gaya Bebas S8 Lelaki, di sini pada Isnin.
Pingat perak dan pingat gangsa pula masing-masing dirangkul oleh Shahafiq Abdullah dari Sabah dan Muhammad Aisy Mazlan dari Selangor.
Kejayaan tersebut memberi gambaran jelas bahawa Rusdianto masih mempunyai ruang untuk menajamkan prestasi, malah menganggap Para SUKMA Selangor sebagai medan penting untuk menguji tahap persediaannya sebelum berdepan saingan lebih sengit di Nagoya.
Rusdianto turut meletakkan sasaran untuk menyumbang keseluruhan enam pingat pada temasya kali ini termasuk menerusi acara berganti-ganti, dengan dua lagi acara dijadualkan berlangsung hari ini.
Sementara itu, seorang lagi atlet Sarawak, Ng Jia Tak tidak ketinggalan untuk menempat slot ke podium apabila turut meyumbang gangsa bagi acara 400 Meter Gaya Bebas S9 Lelaki.
Bermula di lorong 8, Jia Tak menamatkan saingan dengan catatan masa 6 minit 37 saat. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi