SIBU: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu terus bekerja keras, memperkukuh semangat setiakawan serta sentiasa bersama masyarakat bagi memastikan mereka kekal relevan sebagai tonggak masa depan parti dan Sarawak.
Naib Presiden PBB Sarawak yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, golongan muda khususnya mereka yang berusia 40 tahun ke bawah merupakan kelompok penting yang bakal memainkan peranan besar dalam menentukan kepimpinan masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, Pemuda tidak seharusnya hanya hadir ketika diperlukan, sebaliknya perlu sentiasa berada bersama masyarakat, memahami denyut nadi rakyat serta menjadi penggerak kepada pembangunan negeri.
“Pemuda jangan hanya hadir ketika diperlukan, tetapi mesti sentiasa berada bersama masyarakat, memahami denyut nadi rakyat dan menjadi penggerak kepada pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang Santai Pemimpin Bersama Pemuda PBB Sibu anjuran bersama Exco Pergerakan Pemuda PBB Negeri Sarawak di Dewan MUC, di sini, pada Ahad.
Datuk Dr. Annuar turut menyeru golongan Pemuda supaya saling membantu dalam setiap aktiviti dan program yang melibatkan masyarakat, selain memperkukuh hubungan serta kerjasama dalam kalangan anggota parti.
Beliau turut mengingatkan generasi muda agar sentiasa mengikuti perkembangan pembangunan Sarawak dan memahami dasar serta hala tuju Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya, pemahaman terhadap dasar dan agenda pembangunan negeri penting bagi memastikan golongan muda dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam menyokong usaha kerajaan serta menyumbang kepada kemajuan Sarawak.
Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga tengah hari itu menjadi platform bagi Pemuda bertemu dan berdialog secara lebih dekat dengan barisan kepimpinan parti, selain membincangkan peluang, cabaran serta hala tuju generasi belia Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBB Datuk Martin Ben, ADUN Machan merangkap Timbalan Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBB Allan Siden Gramong, Setiausaha Politik kepada YAB Premier Sarawak merangkap Timbalan Ketua Cawangan PBB Nangka
Syed Azmi Wan Junaidi serta Setiausaha Politik kepada YAB Premier Sarawak merangkap Timbalan Bendahari Exco Pergerakan Pemuda PBB Afiq Fiqkri Brahim. - EDISI UKAS