Bintulu Perlu Terus Perkasa Tenaga Kerja Teknikal Selari Kemajuan Industri
BINTULU: Bintulu perlu terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja teknikal dan berkemahiran tinggi bagi memastikan pertumbuhan industri di kawasan itu seiring dengan kemajuan teknologi serta keperluan standard antarabangsa.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, perkara itu penting memandangkan Bintulu merupakan antara hab perindustrian utama Sarawak yang menempatkan pelbagai aktiviti termasuk sektor minyak dan gas, gas asli cecair (LNG), petrokimia, pembuatan serta industri berkaitan tenaga.
Beliau memberitahu, kemajuan industri bukan sahaja bergantung kepada infrastruktur, pelaburan dan teknologi, malah turut memerlukan tenaga kerja yang kompeten, bersedia dan mampu menyesuaikan diri dengan keperluan teknikal yang semakin kompleks.
“Ekonomi perindustrian moden memerlukan tenaga kerja yang mampu bekerja dengan selamat, memahami piawaian antarabangsa dan bertindak dengan yakin terhadap keperluan teknikal yang semakin kompleks,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Kesedaran Teknikal API 510 & API 570 (Edisi Sarawak) serta pembukaan cawangan baharu IDC Training House di sini, pada Isnin.
Dato Sri Roland berkata, kompetensi teknikal perlu diberi perhatian serius kerana ia berkait rapat dengan produktiviti operasi, keselamatan industri, kebolehpercayaan aset dan integriti struktur, selain menyokong pertumbuhan industri yang mampan.
Menurutnya, penganjuran simposium berkenaan menyediakan platform untuk peserta meningkatkan kefahaman teknikal, di samping membuka laluan kepada latihan profesional, persediaan pensijilan dan pembangunan kompetensi yang memenuhi piawaian antarabangsa.
Beliau menambah, pembukaan cawangan IDC Training House di Bintulu pula berpotensi memperluas akses kepada latihan teknikal khusus, sekali gus memudahkan golongan profesional dan pemain industri Sarawak mendapatkan latihan tanpa perlu ke Semenanjung atau luar negara.
“Penubuhan cawangan IDC Training House di Bintulu bukan sekadar pembukaan sebuah lokasi latihan baharu, sebaliknya berpotensi memperkukuh akses tempatan kepada pembangunan teknikal khusus.
“Ia juga menyumbang kepada ekosistem yang lebih luas supaya ilmu dapat dipelajari, diaplikasikan dan dikekalkan lebih dekat dengan industri yang memerlukannya,” katanya.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland berkata, kerjasama lebih erat antara kerajaan, institusi TVET, majikan dan pakar teknikal perlu diperkukuh bagi memastikan program latihan yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan sebenar industri.
Katanya lagi, pemain industri juga perlu memainkan peranan aktif dengan berkongsi keperluan kompetensi, menyediakan pendedahan industri serta menyokong peningkatan kemahiran secara berterusan bagi mewujudkan laluan kerjaya yang lebih jelas untuk bakat tempatan.
“Latihan teknikal bukan sekadar kos operasi, sebaliknya perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam keselamatan, kebolehpercayaan, produktiviti dan daya tahan perniagaan,” ujarnya.
Ujarnya, usaha memperkukuh kompetensi teknikal itu selaras dengan aspirasi Sarawak untuk membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri masa depan, sekali gus menyokong transformasi ekonomi negeri.
Simposium selama tiga hari itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai integriti peralatan bertekanan dan sistem perpaipan, piawaian teknikal antarabangsa serta laluan kompetensi profesional berkaitan API 510 dan API 570.
Turut hadir, Pengerusi Institut Bahan Malaysia (IMM) Cawangan Bintulu Dato Raymond Plen, Ketua Bahagian Inovasi, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Cheong Yaw Liang, Pengarah ADTEC JTM Bintulu Ts Syahrull Nizam Perdan, Pengarah TVETMARA Bintulu, Dr Mohd Syukri Abdullah, Pengasas IDC Training House Helen Gan, Pengarah Refra Dinamik, Lee Ching Kian dan Pengarah Teknikal IDC Training House, Lutz Seibt.-EDISI UKAS