Jacqueline Bangkit Selepas Permulaan Perlahan, Hadiahkan Emas Buat Sarawak
SELANGOR: Permulaan perlahan tidak menghalang Jacqueline Kaboh daripada menamatkan saingan di puncak podium apabila atlet tenpin boling Sarawak itu bangkit dengan permainan konsisten untuk meraih pingat emas acara Perseorangan Wanita TPB3 Akhir Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Sunway Megalanes, pada Isnin.
Jacqueline mengumpul 1,040 jatuhan pin selepas enam permainan untuk muncul juara dengan purata 173.33, meninggalkan jurang besar berbanding wakil Sabah, Athirah Azman dan atlet Pahang, Intan Noor Syakira Zainuddin yang masing-masing mengumpul 783 jatuhan pin.
Menariknya, Jacqueline tidak memulakan saingan dengan catatan terbaik apabila hanya merekodkan 127 jatuhan pin pada permainan pertama.
Namun, atlet Sarawak itu segera mengubah rentak permainan apabila menghasilkan 191 jatuhan pin pada permainan kedua sebelum meneruskan momentum dengan 158 pada permainan ketiga.
Jacqueline kemudian menghasilkan salah satu persembahan terbaiknya pada permainan keempat dengan 194 jatuhan pin, diikuti 180 pada permainan kelima dan menutup saingan dengan 190 jatuhan pin untuk mengesahkan emas.
Kebangkitan selepas permainan pertama itu menjadi antara detik penting kejayaannya apabila Jacqueline berjaya mengekalkan prestasi tinggi dalam lima permainan berikutnya untuk mengumpul keseluruhan 1,040 jatuhan pin. -EDISI UKAS